MoHE x Shopee: Siswa Mall, 12,000 graduan dapat manfaat

Datuk Seri Dr Noraini Ahmad
Datuk Seri Dr Noraini Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Kira-kira 12,000 graduan bakal mendapat manfaat daripada pelaksanaan program MoHE x Shopee: Siswa Mall yang menyediakan latihan dalam aspek e-dagang serta kemahiran berniaga secara dalam talian kepada para graduan institut pengajian tinggi (IPT) di Malaysia.

Jumlah tersebut merangkumi 5,000 graduan institusi pendidikan tinggi awam (IPTA); 5,000 graduan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS); dan 2,000 graduan politeknik dan kolej komuniti tahun 2019, 2020 dan 2021.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, MoHE x Shopee: Siswa Mall adalah hasil kolaborasi strategik Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan pihak Shopee Malaysia bagi membentuk lebih ramai usahawan dalam kalangan pelajar dan graduan IPT berpandukan Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi 2021 hingga 2025.

“Dalam hubungan ini, Shopee Malaysia dilantik untuk menyediakan latihan keusahawanan dan platform perniagaan dalam talian kepada graduan,” katanya pada majlis pelancaran MoHE x Shopee: Siswa Mall di sini pada Khamis.

Noraini menjelaskan, dengan adanya kolaborasi sebegini, para graduan dapat dilatih dan diperkasakan khususnya dalam perkara yang berkaitan dengan bidang keusahawanan dan e-dagang.

“Ini sudah tentu akan dapat mengukuhkan lagi usaha KPT bagi membentuk golongan usahawan digital masa depan,” katanya.

Menurut beliau, setiap pelajar yang berjaya dilatih di bawah program tersebut dan memulakan kedai di Shopee, akan turut menerima ‘Pakej Bantuan Usahawan Siswa’ yang disalurkan KPT kepada pelajar melalui Shopee.

Ujar beliau, pakej berkenaan merangkumi baucar kedai Shopee, kredit iklan serta manfaat lain yang bertujuan untuk membantu usahawan siswa dalam perjalanan e-dagang mereka serta meningkatkan jualan kedai mereka. -Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!