Dakwaan pusat judi berleluasa di Klang tidak berasas: Polis

Hoong Fong (dua dari kiri) menunjukkan barang rampasan dalam operasi pada Rabu.
Hoong Fong (dua dari kiri) menunjukkan barang rampasan dalam operasi pada Rabu.
A
A
A

KLANG - Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong menyangkal dakwaan yang tular di Facebook mendakwa pusat perjudian mula berleluasa selepas beliau mengambil alih jawatan tersebut.

Menurutnya, kenyataan yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook menggunakan nama Aemierulrizaki Rambli itu adalah tidak berasas dan mencemarkan imej Polis Klang Selatan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara amnya.

Beliau berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan merupakan antara daerah yang mencatatkan jumlah tangkapan dan pertuduhan membabitkan perjudian serta pelacuran yang tertinggi di Selangor.

"Pada 24 November (Rabu) sahaja, sebanyak lima tangkapan kes perjudian telah dilakukan dalam lima serbuan berasingan membabitkan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM15,000," katanya pada sidang media di IPD Klang Selatan pada Khamis.

Hoong Fong berkata, sejak 1 Januari sehingga 23 November sebanyak 528 tangkapan membabitkan kes judi dilakukan dan 512 atau 96.96 peratus daripadanya telah dituduh di mahkamah.

"Bagi aktiviti pelacuran pula sebanyak 49 kes tangkapan berjaya dilakukan dan daripada jumlah tersebut 46 dituduh di mahkamah.

"Bagi tempoh seminggu sejak saya dilantik menjadi Ketua Polis Daerah sebanyak 11 serbuan bagi aktiviti perjudian manakala satu serbuan pelacuran berjaya dilaksanakan," ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak polis sudah mengenal pasti pemilik akaun Facebook yang memuat naik kenyataan tersebut dan dalam proses memanggilnya untuk dirakam keterangan.

Artikel Berkaitan:

"Kita sudah kenal pasti dan akan panggil dia secara baik serta kita mahu dia datang untuk beri maklumat jika ada.

"Kalau dia ingkar kita akan panggil dengan Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah untuk paksa kehadirannya," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menyangkal sekeras-kerasnya sebarang dawaan berkenaan aktiviti perjudian yang semakin berleluasa di daerah Klang Selatan dan memohon orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu pihak polis.

"Jangan gunakan media sosial untuk sebar perkara tidak benar, kita akan pastikan aktiviti perjudian dan pelacuran dibanteras secara total di Klang Selatan ini. Sebarang maklumat boleh hubungi IPD Klang Selatan di talian 03-3719999," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!