Sasar KBBM kepada pelancong asing
LANGKAWI - Pelaksanaan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) disaran tidak hanya tertumpu kepada rakyat tempatan sebaliknya perlu menyasarkan pelancong asing yang berkunjung ke negara ini.
Pengeluar produk kecantikan dan kesihatan jenama Mahsuri Gold, Zuliza Zainon, 37, berkata, langkah itu bukan hanya membantu meningkatkan pembelian produk tempatan bahkan memperkenalkannya kepada rakyat asing.
“Di Langkawi misalnya, saya dapati pelancong asing yang datang ke sini bukan membeli produk dari negara luar tetapi mencari produk tempatan yang tidak boleh diperoleh di negara mereka.
“Jika kita memperkenalkan produk tempatan kepada pelancong asing termasuk menerusi KBBM atau kempen promosi lain, saya percaya ia akan membantu PKS meningkatkan jualan selain membuka ruang kepada jenama masing-masing menembusi pasaran lebih besar di luar negara,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.
Zuliza yang mengasaskan syarikat Lieza Anggun Enterprise sejak 2016 dan beroperasi di Kuala Teriang, di sini, bagaimanapun berkata, banyak perkara yang harus dipelajari PKS tempatan terutama berkaitan kualiti produk sebelum bercita-cita menembusi pasaran luar negara.
Mengenai produknya, Zuliza berkata, beliau mula menghasilkan produk kecantikan dan kesihatan berasaskan gamat di rumahnya beberapa tahun lalu dengan mendapatkan khidmat nasihat serta menyertai kursus dianjurkan pelbagai agensi kerajaan termasuk Jabatan Pertanian daerah Langkawi.
“Setakat ini, saya mempunyai lima produk utama yang dipasarkan di 12 outlet atau premis runcit di Langkawi termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. Selain itu, banyak jualan dilakukan melalui platform dalam talian,” katanya.
KBBM peringkat kebangsaan 2021 dilancarkan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid di Dataran Chenang Langkawi, di sini, baru-baru ini yang merupakan platform dalam penjenamaan bagi meningkatkan keyakinan pengguna terhadap produk tempatan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!