Dakwa timbalan menteri enggan jawab, Dewan Rakyat kecoh
KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat sesi petang pada Khamis kecoh seketika apabila beberapa ahli Parlimen pembangkang mendakwa Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Ahmad Hamzah enggan menjawab soalan yang dibangkitkan.
Kekecohan itu bermula apabila Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said memberi teguran kepada Ahmad bahawa masa yang diberikan untuk beliau menjawab hampir tamat.
Tidak berpuas hati apabila persoalan yang dibangkitkan belum sempat dijawab, Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) bangkit meminta agar Ahmad memberikan jawapan bertulis kepadanya.
“Mohon timbalan menteri beri jawapan secara bertulis sebab banyak soalan yang kita ajukan tidak dijawab,” katanya.
Keadaan bertambah panas apabila Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) bangkit mencelah dengan mengatakan soalan yang diajukan mengenai kenaikan harga sayur dan ayam belum dijawab.
“Saya tanya soalan harga sayur, ayam naik. Timbalan menteri enggan jawab. Itulah sikap timbalan menteri, sedangkan soalan ini begitu penting.
“Saya sangat dukacita kerana kerajaan enggan jawab soalan yang cukup penting. Kalau berani jawab sekarang,” katanya.
Kenyataan Hon Wai itu menyebabkan beberapa ahli Parlimen blok kerajaan bangkit mempertahankan tindakan Ahmad untuk tidak menjawab memandangkan kesuntukan masa.
Pertikaman lidah antara ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang berlanjutan beberapa minit sebelum ditenangkan Azalina.
“Saya minta timbalan menteri jawab, sebab arahan Yang Dipertua Dewan Rakyat (Tan Sri Azhar Azizan Harun) perlu diberikan kepada mereka (jawapan) secara bertulis dalam tempoh lima hari,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!