Pengguna digesa beralih ke 4G sebelum rangkaian 3G tamat

Pengguna telefon bimbit atau peranti 3G perlu segera beralih kepada rangkaian 4G sebelum perkhidmatan 3G di Malaysia ditamatkan sepenuhnya pada 31 Disember ini. (Gambar hiasan) - Foto 123rf
Pengguna telefon bimbit atau peranti 3G perlu segera beralih kepada rangkaian 4G sebelum perkhidmatan 3G di Malaysia ditamatkan sepenuhnya pada 31 Disember ini. (Gambar hiasan) - Foto 123rf
A
A
A

CYBERJAYA - Pengguna telefon bimbit atau peranti 3G perlu segera beralih kepada rangkaian 4G sebelum perkhidmatan 3G di Malaysia ditamatkan sepenuhnya pada 31 Disember ini, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Menurut MCMC dalam satu kenyataan pada Khamis, tindakan itu bagi mengelakkan pengguna terkesan dan ketinggalan dalam gelombang pendigitalan.

“Pengguna yang masih memiliki kad SIM yang hanya menyokong rangkaian 3G disaran segera menghubungi penyedia perkhidmatan terdekat untuk menaik taraf ke 4G bagi mengelakkan sebarang kesulitan,” katanya.

Penamatan rangkaian 3G adalah seiring dengan usaha kerajaan meningkatkan liputan jalur lebar yang lebih menyeluruh dan berkualiti tinggi di bawah inisiatif Infrastruktur Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).

Menurut MCMC, ia bertujuan untuk mengguna semula spektrum sedia ada bagi mengukuhkan rangkaian 4G serta membolehkan penyedia rangkaian mudah alih meningkatkan ketersambungan digital dan memberikan pengalaman 4G yang lebih baik serta menarik kepada pelanggan dan isi rumah.

Suruhanjaya itu memaklumkan setakat 30 September lepas, sebanyak 94.03 peratus kawasan berpenduduk mempunyai akses 4G dengan perkhidmatan jalur lebar mudah alih pada kelajuan 31.34 megabit sesaat.

Pihak penyedia perkhidmatan iaitu Celcom Axiata Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Maxis Bhd, Telekom Malaysia Bhd dan U Mobile Sdn Bhd telah berjaya melakukan migrasi 1.2 juta pelanggan kepada 4G, menurut MCMC. -Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!