Roti Gardenia naik harga bermula 1 Disember ini
SHAH ALAM - Harga produk berasaskan roti keluaran Gardenia akan meningkat bermula 1 Disember ini bagi pengguna di Semenanjung Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Gardenia Bakeries (KL), Koh Chin Huat berkata, kenaikan itu disebabkan syarikat terjejas teruk oleh kenaikan kos akibat penularan wabak Covid-19.
“Gardenia KL juga terjejas dengan cabaran ini dan telah berusaha sedaya upaya untuk menyerap kenaikan harga bahan mentah.
“Namun, peningkatan besar dalam pembuatan dan kos bahan di luar kawalan kami telah meletakkan Gardenia KL dalam kedudukan sukar tanpa alternatif kecuali melaksanakan semakan harga ke atas produk Gardenia berkuat kuasa 1 Disember 2021,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu, menurut senarai semakan harga yang dilaporkan dihantar kepada peruncit, harga roti Classic Original Gardenia akan naik kepada RM2.80, roti Jumbo berharga RM4 manakala roti bajet Bonanza Big Value akan naik 35 sen menjadi RM3.10.
Roti bijirin gandum penuh Gardenia pula akan dijual dengan kenaikan kepada RM3.60, manakala roti Bran & WheatGerm pula dijual dengan harga RM2.50.
Sementara itu, senarai roti Delicia dan Toast-em, yang merangkumi roti Butterscotch, Choco Raisin, Raspberry Milk dan Cranberries serta Pandan Kelapa pula akan dijual pada harga RM5 berbanding RM4.25 ketika ini.
Roti sambal bilis syarikat pula akan berharga RM1.30 mulai bulan depan manakala roti krim Quick Bites naik 10 sen menjadi RM1.
Dalam pada itu, Gardenia Bakeries (KL) mengucapkan terima kasih kepada pelanggannya atas sokongan mereka dan menegaskan bahawa kenaikan harga adalah pilihan terakhir selepas ia mengambil langkah lain untuk memaksimumkan kecekapan operasi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!