Papan iklan tulisan jawi perlu dibincangkan dengan PBT
KUALA LUMPUR - Cadangan lebih banyak papan iklan (billboard) tulisan jawi dipasang di kawasan tumpuan pelancong perlu dibincangkan dengan pihak berkuasa terlibat terutama pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, perkara itu membabitkan peraturan di bawah PBT masing-masing.
“MOTAC menyambut baik cadangan Yang Berhormat Jerai agar lebih banyak usaha berkaitan tulisan jawi diberi perhatian seperti papan tanda jalan dan billboard (papan iklan) tapi perkara ini perlu dibincangkan dengan PBT.
“MOTAC atau jabatan terlibat sememangnya ada peraturan (yang perlu dipatuhi) berkaitan perkara ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2022 peringkat Jawatankuasa bagi kementeriannya di Dewan Rakyat pada Khamis.
Katanya, MOTAC melalui Jabatan Warisan Negara Negara sentiasa memberikan perhatian terhadap usaha pengembangan dan kelestarian tulisan jawi di negara ini.
Tambahnya, kementerian yang diterajuinya itu juga menerbitkan risalah dan menggunakan aplikasi digital dalam memperkasakan tulisan jawi.
“Sebagaimana Yang Berhormat sedia maklum, tulisan jawi telah diwartakan sebagai warta kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 pada Disember 2009.
“Pewartaan itu bagi memastikan ia sentiasa dipelihara dan dilindungi dengan sewajarnya sebagai khazanah warisan negara,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!