RM984,060 baik pulih wad ICU HSA terbakar

RM984,060 telah dibelanjakan bagi kerja-kerja baik pulih wad ICU tersebut.
RM984,060 telah dibelanjakan bagi kerja-kerja baik pulih wad ICU tersebut.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerja-kerja baik pulih wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) yang terbakar pada 2016 selesai dijalankan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Khamis diberitahu.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyananthan berkata, waran peruntukan pembangunan tahun 2017 bagi ICU terbakar itu telah diterima dengan RM984,060 telah dibelanjakan bagi kerja-kerja baik pulih wad ICU tersebut.

"Wad ini telah digunakan sebagai wad pembedahan am dengan kapasiti 20 katil dan telah mula beroperasi pada September 2020.

"Bagi tahun ini, pihak HSA telah mendapat Hybrid Field ICU dengan kapasiti 10 katil yang mula beroperasi pada 5 September," katanya menggulung Belanjawan Johor 2022 pada persidangan DUN Johor di sini pada Khamis.

Seramai enam pesakit maut, manakala seorang lagi terselamat dalam kebakaran di tingkat dua ICU selatan HSA pada jam 8.56 pagi, 25 Oktober 2016 itu.

Mengenai dos penggalak vaksin Covid-19, Vidyananthan (BN-Kahang) berkata, seramai 97,138 penduduk negeri ini telah menerima dos penggalak vaksin Pfizer bermula 13 Oktober hingga Selasa lepas.

Beliau berkata, pada masa ini, pemberian dos penggalak dilaksanakan bagi penerima vaksin Pfizer yang menerima suntikan sekurang-kurangnya enam bulan dari tarikh akhir dos kedua dan tiga bulan dari tarikh akhir dos kedua bagi penerima Sinovac.

“Pelaksanaan dos penggalak tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa memandangkan logistik pengurusan vaksin yang sensitif dan memerlukan perancangan yang rapi.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, terdapat beberapa kekangan yang dihadapi dalam meningkatkan bilangan penerima iaitu antaranya lebih 70 peratus penerima vaksin di Johor menerima vaksin Pfizer yang belum mencapai selang masa enam bulan dari dos kedua. Maka penerima vaksin ini masih belum layak untuk menerima dos penggalak,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!