MyDigital.KKMM.my promosi jalur lebar, manfaatkan landskap digital
PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Portal yang dibangunkan khusus untuk program Promosi Jalur Lebar 2021, MyDigital.KKMM.my dilancarkan bagi membolehkan rakyat mengguna dan memanfaatkan landskap digital negara.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, inisiatif tersebut juga adalah usaha pendigitalan perkhidmatan kerajaan bagi meningkatkan sistem penyampaian agar seluruh Keluarga Malaysia dapat menikmati impak digital.
Menurutnya, MyDigital.KKMM.my disertai oleh 27 kementerian bersama-sama agensi di bawahnya sebagai pempamer selain terdapat lima buah syarikat telekomunikasi yang turut serta mengambil bahagian untuk mempromosikan produk atau perkhidmatan masing-masing.
"Portal ini menjadi sebuah pusat sehenti yang boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh kementerian dan agensi kerajaan bagi mempercepatkan lagi kefahaman rakyat mengenai ekosistem digital di negara ini.
"Menerusi portal ini, rakyat dapat menikmati manfaat pelbagai jenis informasi mengenai program, produk mahupun perkhidmatan yang disediakan," katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran portal tersebut di kementeriannya pada Khamis.
Ia turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Mohammad Mantek.
Mengulas lanjut, Annuar berkata, pandemik Covid-19 telah mengubah landskap dan keperluan rakyat dalam mendepani era digital yang semakin mencabar.
Beliau berkata, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) banyak perniagaan beroperasi tanpa kedai berbanding sebelumnya yang mempunyai premis, gerai dan sebagainya.
"Begitu juga dengan transaksi. Jika dahulu, kita guna wang fizikal, sekarang terdapat pilihan sama ada menggunakan e-dompet, transaksi dalam talian dan sebagainya.
"MyDigital.KKMM.my yang berkonsepkan pameran maya berbeza dengan portal-portal lain sedia ada. Dengan MyDigital.KKMM.my, pengguna dapat melayarinya dengan mudah tanpa memerlukan banyak portal pada satu-satu masa," ujarnya.
Sementara itu, pada sidang akhbar, beliau berkata, selain menjadi wadah penyampaian dasar digital negara, MyDigital.KKMM.my juga berperanan mendidik rakyat menjadi pengguna yang bijak dan berhemah dalam penggunaan teknologi digital.
"Jangan lihat ini portal kerajaan, tetapi ia adalah portal untuk rakyat," katanya.
Ujarnya, kementerian bercadang akan menambah pilihan bahasa termasuk etnik Sabah dan Sarawak untuk laman sesawang tersebut.
Buat masa ini, MyDigital.KKMM.my menawarkan hanya bahasa Inggeris dan Melayu.
"Saya fikir elok juga untuk menambah pilihan dialek agar maklumat dapat disampaikan kepada semua selain meningkatkan fahaman pengguna," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!