'Pakatan lampu isyarat' bakal terajui Jerman
BERLIN - Bakal Canselor baharu Jerman, Olaf Scholz pada Rabu mengumumkan perjanjian untuk menubuhkan kerajaan gabungan baharu yang mendapat julukan ‘pakatan lampu isyarat’ atau Ampel yang mewakili warna parti masing-masing.
Pakatan pertama di peringkat persekutuan yang menggabungkan ideologi berbeza antara Parti Hijau, Parti Demokratik Bebas (FDP) dan Parti Sosial Demokratik (SPD) dianggotai Scholz akan menamatkan pemerintahan konservatif di negara itu yang dipimpin Angela Merkel selama 16 tahun.
Ketiga-tiga parti itu yang meraih majoriti di Dewan Rakyat (Bundestag) berharap kerajaan baharu akan mengangkat sumpah jawatan pada awal bulan depan setelah mereka meratifikasi perjanjian pakatan setebal 177 muka surat.
Ketika sidang media bersama pemimpin Parti Hijau dan FDP, Scholz turut mengimbau semula detik ketika lampu isyarat pertama didirikan di bandar Potsdamer Platz pada 1924.
“Ketika itu, ramai yang ragu-ragu dengan fungsi lampu isyarat tersebut. Pada hari ini, lampu isyarat sangat diperlukan untuk memastikan pergerakan yang lancar dan selamat.
“Cita-cita saya sebagai canselor adalah untuk memastikan 'pakatan lampu isyarat' ini akan memainkan peranan yang sama penting untuk Jerman,” ujarnya.
Difahamkan, kesepakatan itu dicapai kira-kira dua bulan selepas SPD menewaskan blok konservatif Kesatuan Demokratik Kristian (CDU) - Kesatuan Sosial Kristian (CSU) pada Pilihan Raya Umum pada September lalu.
Menurut Scholz, antara rancangan kerajaan baharu tersebut adalah menubuhkan pasukan krisis untuk memerangi pandemik Covid-19 yang semakin serius di negara itu selain berjanji menyediakan peruntukan 1 bilion euro (RM4.7 bilion) untuk bonus kepada kakitangan perubatan yang bertugas di barisan hadapan. - AFP
Info
Menteri Kewangan, Olaf Scholz, 63, bakal dilantik sebagai Canselor baharu Jerman pada awal bulan depan untuk menggantikan Angela Merkel yang bersara daripada dunia politik setelah memegang kuasa selama empat penggal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!