Memacu agenda pertumbuhan hijau penting untuk kesejahteraan negara
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, agenda pertumbuhan hijau suatu yang amat penting bagi mencapai pemerkasaan ekonomi, kelestarian alam sekitar dan keterangkuman sosial.
“Dalam usaha mencapai persekitaran hijau dan lestari, kerajaan perlu melaksanakan strategi yang tepat dan pragmatik untuk membasmi kemiskinan tegar, kebuluran dan ketidaksamaan,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak Asia-Eropah ke-13 (ASEM13) secara maya di sini, pada Khamis.
Justeru, Perdana Menteri berharap negara maju terus menyokong dan menyediakan bantuan teknikal serta pemindahan teknologi kepada negara membangun untuk program hijau dan lestari.
Beliau berkata, usaha mengarusperdanakan kelestarian memainkan peranan amat penting dalam memastikan kelancaran peralihan kepada ekosistem yang lebih hijau.
Merujuk kepada langkah Malaysia dalam mempromosikan dasar pertumbuhan hijau dan lestari, beliau berkata, pada September kerajaan Malaysia telah melancarkan Rancangan Malaysia ke-12 yang menggaris secara praktikal keutamaan pembangunan negara dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Agenda 2030.
“Kami menerima pakai pendekatan “whole-of-nation” dalam pelaksanaan SDG. Dengan fokus “leaving no one behind”, menyesuaikan inisiatif SDG dengan sekitaran tempatan perlu dipergiatkan.
“Meningkatkan pemahaman dan kesedaran awam juga penting dalam melaksanakan SDG di peringkat tempatan,” katanya.
Malaysia juga mengumumkan komitmennya untuk menjadi Negara Pelepasan Gas Rumah Hijau Sifar menjelang 2050.
ASEM terdiri 21 negara Asia, 28 negara Kesatuan Eropah (EU), dua negara Eropah, Sekretariat ASEAN dan Suruhanjaya Eropah. ASEM ditubuhkan pada 1 Mac 1996 bertujuan memupuk dialog dan kerjasama antara Asia dan Eropah.
Malaysia menyertai ASEM pada 1996 dan sejak itu aktif mengambil bahagian dalam semua inisiatif ASEM yang memberi manfaat kepada kedua-dua rantau.
Tema tahun ini "Strengthening Multilateralism for Shared Growth" bertepatan dengan usaha ASEM dalam menangani cabaran global melalui dialog.
Sidang kemuncak dua hari itu dipengerusikan oleh Kemboja. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!