BN kini dahului agenda reformasi politik

Mohamed Khaled
Mohamed Khaled
A
A
A

JOHOR BAHRU - Barisan Nasional (BN) kini mendahului agenda reformasi politik yang melibatkan pelbagai aspek selepas memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik pada September lalu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, buktinya dapat dilihat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Sabtu lalu apabila BN meletakkan majoriti muka baharu menjadi calon mereka.

"Pakatan Harapan (PH) bukan lagi pelopor pembaharuan di Malaysia. Keputusan di Melaka menunjukkan bahawa PH sebenarnya yang memerlukan pembaharuan, reformasi dan peremajaan.

"Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan seangkatannya dalam DAP telah melepasi zaman mereka. Masa untuk penyesuaian pastinya telah tiba," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada PRN Melaka, BN bertanding di 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan 86 peratus daripadanya adalah muka baharu serta hanya empat calon lama dikekalkan.

BN menang besar dalam PRN Melaka apabila 21 kerusi DUN menjadi milik mereka manakala lima kerusi DUN lagi dimenangi PH dan dua kerusi DUN menjadi milik Perikatan Nasional (PN).

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, perkembangan di Melaka itu menunjukkan reformasi bukan lagi milik PH malah BN komited untuk terus menjayakan agenda itu termasuk melibatkan pelbagai institusi.

"Malaysia sekarang telah mempunyai Ketua Pembangkang dengan taraf dan kelayakan seorang menteri. Insya-ALLAH pelbagai lagi pembaharuan institusi akan dilaksanakan Perdana Menteri dalam tempoh MOU antara kerajaan dan pembangkang itu beroperasi.

Artikel Berkaitan:

"Malaysia yang lebih baik memerlukan parti dengan 'sophistication' politik yang bersifat sezaman. Justeru, bagi BN, pembaharuan adalah suatu kemestian untuk semua pergerakan politik," jelasnya.

Menurutnya, reformasi adalah retorik politik yang senang diucap tetapi sukar dilaksanakan, halangan terbesar terhadap pembaharuan ialah cara berfikir dan minda yang telah sebati dengan cara lama serta tidak mudah diubah.

"Tetapi untuk kekal pegun dan 'changeless' adalah langkah kebelakang, bukan jalan kehadapan," ujar bekas Menteri Besar Johor itu.

Beliau menambah, tanpa slogan retorik berapi-rapi, BN menjiwai dan menterjemahkan reformasi politik dan institusi dengan lebih tuntas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!