Melaka United congak tiket final

Adriano menyumbat gol ketika Melaka United terikat seri dengan KL City di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada Isnin lalu.
FOTO: FB MELAKA UNITED FC
Adriano menyumbat gol ketika Melaka United terikat seri dengan KL City di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada Isnin lalu. FOTO: FB MELAKA UNITED FC
A
A
A

MELAKA United FC diingatkan tidak leka dengan kelebihan satu gol di gelanggang lawan apabila berdepan Kuala Lumpur (KL) City FC dalam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat pada Jumaat.

Sebaliknya, pengendali Melaka United, Zainal Abidin Hassan menuntut anak-anak buahnya mengekalkan momentum sepanjang kempen Piala Malaysia musim ini untuk layak ke final buat kali pertama dalam sejarah skuad Hang Tuah itu.

“Saya sudah menyiapkan perancangan serta strategi apabila bermain di tempat sendiri kerana apa yang lebih penting, kami tidak mahu dibolosi di tempat sendiri.

“Jadi kami perlu mencipta lebih banyak peluang seperti yang ditunjukkan dalam perlawanan (separuh akhir pertama) sebelum ini. Disiplin itu sangat penting.

“Memang kami ada kelebihan dari segi penyokong selain gol tempat lawan. Tetapi itu masih belum selamat jika apa yang dirancang tidak menjadi kenyataan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Melaka United tampak memiliki kelebihan untuk mara ke pentas final apabila berjaya mengikat KL City dengan keputusan seri 1-1 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada Isnin.

Jaringan menerusi sepakan percuma daripada pemain import, Adriano Narcizo meletakkan Melaka United kini selangkah untuk ke final yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil Selasa depan.

“Kami ada peluang untuk mencipta sejarah baharu bola sepak Melaka. Jadi saya harap semua pemain mematuhi arahan yang diberi kerana Jumaat adalah hari paling penting buat kami,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!