LGBT jangan ambil kesempatan, pesan Armada Bersatu
LANGKAWI - Kebebasan bersuara yang diberikan oleh kerajaan PH telah disalah guna golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) apabila membuat ucapan terbuka di khalayak ramai sempena Hari Wanita Antarabangsa, kelmarin.
Armada Bersatu kesal kerana golongan minioriti itu mengambil kesempatan atas himpunan meraikan kaum wanita, dengan melaungkan pendirian dan tuntutan mereka.
Exconya, Amar Pared Mahamud berkata, kerajaan wajar bertindak tegas menangani isu berkenaan kerana kelompok itu mempunyai agenda tersendiri yang boleh mengancam kedaulatan agama Islam di negara ini.
“Kerajaan perlu tegas dan serius tangani isu-isu sensitif seperti ini. Anak muda negara ini khususnya Langkawi menolak budaya tidak sihat seperti itu, bendung sebelum berleluasa dan parah,” katanya.
Sehubungan itu, wakil Bersatu Langkawi, Armada Langkawi serta Persatuan Silat Gayung Makrifat Langkawi membuat laporan polis bersama membantah perarakan LGBT di ibu negara, dan mahu siasatan dilakukan terhadap penganjur terbabit.
“Kita sedia maklum, majoriti rakyat Malaysia malah pendirian kerajaan PH menolak amalan LGBT, budaya itu tidak diterima sama sekali dalam negara kita. Kami mahu penganjur perarakan LGBT disiasat dan diambil tindakan sewajarnya mengikut perundangan sedia ada,” katanya.
Amar Pared yang juga Ketua Penerangan Armada Langkawi berkata, demi keamanan dan keharmonian negara yang mempunyai pelbagai latar belakang masyarakat, kaum dan agama, amalan menyongsang seperti itu hendaklah dikekang.
“Kita harus halang dan bantah tuntutan golongan itu yang makin berani tonjolkan diri mahu diberikan hak sama rata,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!