Persediaan banjir: KPDNHEP Kelantan lantik 42 pemborong, 53 peruncit

KPDNHEP Kelantan sentiasa memastikan bekalan makananan di negeri ini dijual dengan harga yang berpatutan.
KPDNHEP Kelantan sentiasa memastikan bekalan makananan di negeri ini dijual dengan harga yang berpatutan.
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan melantik 41 pemborong utama dan 53 peruncit terpilih di setiap daerah di negeri ini sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan berlaku banjir.

Pengarah KPDNHEP Kelantan, Adnan Abd Rahman berkata, ia merupakan Pelan Kontingensi Banjir melalui tiga fasa iaitu persediaan sebelum, semasa dan tempoh pemulihan selepas fenomena bencana alam berlaku.

“Objektif kita adalah untuk memastikan keberadaan bekalan barang kawalan dan keperluan asas mencukupi, mudah diperolehi dan dijual dengan harga yang ditetapkan oleh kerajaan serta berpatutan.

“Pemborong dan peruncit barang kawalan serta barang keperluan asas yang dilantik ini merupakan pemegang mini stok dan hendaklah sentiasa memastikan bekalan sentiasa mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, dalam Pelan Kontingensi yang ditetapkan KPDNHEP Kelantan, lantikan berkenaan dibenarkan menambah had simpanan bekalan barang kawalan melebihi 30 peratus kuantiti had simpanan sedia ada yang dibenarkan dalam lesen asal barang kawalan berjadual dalam tempoh musim bencana ini.

Beliau berkata, selain itu juga KPDNHEP Kelantan telah mengadakan sesi libat urus dengan pengeluar, pemborong, pengimport, persatuan dan agensi kerajaan terlibat dengan mengadakan mesyuarat bersama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam menghadapi banjir di negeri ini.

Adnan (tengah) melakukan tinjauan stok bekalan makanan yang melibatkan pembekal yang dilantik.
Adnan (tengah) melakukan tinjauan stok bekalan makanan yang melibatkan pembekal yang dilantik.

“KPDNHEP Kelantan juga mengaktifkan Bilik Gerakan yang juga ‘Enforcement Command Centre’ bermula jam 8 pagi hingga jam 10 malam termasuk di seluruh cawangan pentadbiran KPDNHEP Kelantan iaitu KPDNHEP Cawangan Pasir Mas, Kuala Krai Tanah Merah dan Gua Musang untuk menerima sebarang aduan berkaitan.

Artikel Berkaitan:

“KPDNHEP Kelantan juga sentiasa mempergiatkan pemeriksaan harian dan memantau kedudukan bekalan barang kawalan dan keperluan asas dari masa ke masa melibatkan penugasan 133 pegawai penguat kuasa dan 90 pegawai pemantau harga," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, tindakan secara legastik tanpa kompromi terhadap peniaga yang menyorok, enggan menjual dan menyeleweng serta menjual melebihi harga maksimum akan dilaksanakan.

“KPDNHEP Kelantan akan terus mengambil tindakan yang relevan bagi memastikan bekalan barangan kawalan dan keperluan asas sentiasa berada dalam pasaran serta mengawal mengikut harga yang berpatutan.

"Pengguna tidak perlu resah dengan membuat pembelian secara banyak atau melebihi kawalan kerana bekalan barang kawalan dan barang keperluan asas sentiasa mencukupi,” jelasnya.

Selain itu, Adnan turut mengingatkan peniaga agar tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga jualan masing-masing atas pelbagai alasan serta mematuhi perundangan yang ditetapkan kerajaan serta beretika dalam perniagaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!