Insentif khas buat skuad Penyu jika julang Piala Malaysia

Nafuzi Zain giat merencana taktikal TFC menjelang perlawanan menentang JDT malam ini. - Foto Terengganu FC
Nafuzi Zain giat merencana taktikal TFC menjelang perlawanan menentang JDT malam ini. - Foto Terengganu FC
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu akan memberi insentif khas buat skuad Penyu sekiranya berjaya mara ke pentas 'final' seterusnya, menjulang trofi Piala Malaysia musim ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, meskipun Terengganu FC (TFC) bakal berdepan misi sukar menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ismail (SSI), Johor Baharu malam Jumaat, namun beliau yakin dan percaya halangan itu dapat diatasi dengan semangat juang serta disiplin tinggi skuad Penyu.

"Bonus pada setiap kemenangan itu sudah ada buat pemain, tapi jika mereka berjaya melangkah ke 'final' dan seterusnya menjulang trofi berprestij itu, kerajaan negeri akan beri imbuhan sebagai penghargaan kepada pemain.

"Semua rakyat Terengganu menaruh harapan tinggi agar skuad Penyu dapat membawa pulang Piala Malaysia ke bumi Darul Iman kali ini selepas kali terakhir pada 2001," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Skuad bimbingan Nafuzi Zain itu bakal berdepan JDT bagi perlawanan pusingan kedua separuh akhir Piala Malaysia di SSI, malam Jumaat.

Meskipun TFC berbekalkan keputusan seri 1-1 dengan JDT pada pusingan pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) Isnin lalu, laluan Terengganu ke peringkat akhir dilihat agak sukar kerana kelebihan jaringan di tempat lawan memihak pada skuad Harimau Selatan.

Dalam perkembangan lain, Wan Sukairi turut meminta supaya pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengurangkan denda sebanyak RM10,000 yang dikenakan terhadap TFC Sdn Bhd atas kesalahan melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika perlawanan pusingan pertama di SSMZA.

"Penganjur (TFC Sdn Bhd) sebenarnya amat mengambil berat pematuhan SOP. Mereka berkali-kali memberi peringatan supaya penonton menjaga jarak dan memakai topeng muka melalui pembesar suara.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun selepas jaringan gol, penonton menjadi begitu teruja dan bersemangat sehingga terlupa seketika penjarakan sosial. Ia sukar dielak dalam situasi penuh bersemangat," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN:Azimat TFC gempur JDT

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!