Penjawat awam Pulau Pinang dapat bonus setengah bulan gaji

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang meluluskan bayaran bonus akhir tahun sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada penjawat awam di negeri tersebut.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, bayaran bantuan khas kewangan itu melibatkan keseluruhan 3,962 penjawat awam dengan implikasi kewangan berjumlah RM5.59 juta.

"Bayaran bonus berkenaan akan dibuat pada Disember 2021. Saya bersyukur Pulau Pinang mempunyai pasukan penjawat awam mantap, profesional dan berintegriti. Peranan penjawat awam selaku barisan hadapan yang tidak pernah kenal penat lelah semasa mendepani pandemik Covid-19 amatlah disanjung tinggi.

"Diharapkan bayaran bantuan khas kewangan ini akan meningkatkan semangat penjawat awam untuk memberikan perkhidmatan lebih cemerlang pada tahun akan datang," katanya ketika berucap sempena pembentangan Bajet 2022 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Jumaat.

Selain penjawat awam, Kon Yeow mengumumkan pembayaran RM300 seorang kepada penyelia dan guru KAFA, guru Sekolah Rendah Agama Rakyat, Guru Sekolah Menengah Agama Rakyat serta Guru dan staf sekolah persendirian Cina.

Kon Yeow memaklumkan bayaran bantuan RM200 pula diberikan kepada guru tahfiz, guru sekolah pondok dan Guru Tadika Islam (TADIS) Negeri Pulau Pinang yang akan melibatkan perbelanjaan berjumlah RM940,600 dan dibayar pada Disember 2021.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!