Individu dakwa pusat judi berleluasa di Klang tampil beri keterangan
KLANG - Individu yang mendakwa pusat perjudian berleluasa di kawasan Klang Selatan di sini telah tampil memberi keterangan kepada pihak polis pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, individu berusia 40-an tersebut hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dan menyatakan akan bekerjasama dengan siasatan pihak polis.
"Individu berkenaan turut menyatakan akan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti judi haram dan maksiat sekiranya ada," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Pada Khamis, Hoong Fong menyangkal dakwaan yang tular di Facebook mendakwa, pusat perjudian mula berleluasa selepas beliau mengambil alih jawatan tersebut pada 18 November lalu.
Menurutnya, kenyataan yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Facebook itu adalah tidak berasas dan mencemarkan imej polis Klang Selatan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara amnya.
Beliau berkata, IPD Klang Selatan merupakan antara daerah yang mencatatkan jumlah tangkapan dan pertuduhan membabitkan perjudian serta pelacuran yang tertinggi di Selangor.
"Pada Rabu (24 November) sahaja, sebanyak lima tangkapan kes perjudian telah dilakukan dalam lima serbuan berasingan membabitkan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM15,000," katanya ketika sidang akhbar di IPD Klang Selatan pada Khamis.
Hoong Fong berkata, sejak 1 Januari sehingga 23 November juga, sebanyak 528 tangkapan membabitkan kes judi dilakukan dan 512 atau 96.96 peratus daripadanya telah dituduh di mahkamah.
"Bagi aktiviti pelacuran pula sebanyak 49 kes tangkapan berjaya dilakukan dan daripada jumlah tersebut 46 telah dituduh di mahkamah.
"Dalam tempoh seminggu sejak saya dilantik menjadi ketua polis daerah, sebanyak 11 serbuan bagi aktiviti perjudian manakala satu serbuan pelacuran berjaya dilaksanakan," ujarnya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!