Rusuhan di Kepulauan Solomon, semua rakyat Malaysia selamat

Wisma Putra
Wisma Putra
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Luar (Wisma Putra) memantau rapat perkembangan terkini di kepulauan Solomon, ekoran pergolakan dan tunjuk perasaan yang berlaku di bandar Honiara.

Menurut kenyataan kementerian pada Jumaat, kesemua 231 warga Malaysia di bandar raya itu manakala 950 lagi yang berada di luar bandar dilaporkan selamat.

“Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Port Moresby, Papua New Guinea sentiasa berhubung rapat dengan rakyat Malaysia di Kepulauan Solomon melalui Konsulat Kehormat Malaysia di negara tersebut,” menurut kenyataan itu.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular di Kepulauan Solomon boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Port Moresby atau kementerian.

Menurut laporan media, protes antikerajaan menuntut Perdana Menteri, Manasseh Sogavare meletak jawatan itu sudah berlarutan sejak Rabu, menyebabkan banyak insiden kebakaran berlaku di bandar raya tersebut. Sebuah balai polis dan bangunan di kawasan Parlimen turut dibakar.

Sogavare pada Rabu mengenakan sekatan pergerakan selama 36 jam di Honiara tetapi tidak diendahkan penunjuk perasaan.

Australia turut menghantar anggota polis dan tenteranya ke Kepulauan Solomon pada Jumaat untuk membantu mengawal rusuhan. -Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!