Peletakan jawatan Mohd Rafiq perlu jadi teladan pemimpin politik
KUALA LUMPUR - Peletakan jawatan Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka perlu menjadi tauladan kepada ramai pemimpin politik di negara ini.
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, keputusan itu mencerminkan kualiti tinggi seorang pemimpin kerana mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, baru-baru ini.
"Jadi saya kagum dengan tahap kepimpinan sebegini berbeza dengan pemimpin-pemimpin lain yang pernah ditewaskan pada pilihan raya tetapi masih sibuk berpolitik hingga mengakibatkan banyak kekeliruan dalam negara sekarang kerana masih nak memegang jawatan.
"Saya fikir apa yang telah dibuat beliau ini perlu menjadi tauladan kepada begitu ramai lagi pemimpin-pemimpin besar yang jauh lebih berumur...apabila rakyat sudah tolak tu mesti tahu bila nak bersara," katanya kepada Bernama, pada Jumaat.
Sebelum itu Ahmad Faizal hadir ke Wisma Bernama bagi menghadiri sesi Program Bual Bicara Bersama Menteri Belia dan Sukan yang disiarkan Bernama TV pada Jumaat.
Mohd Rafi mengumumkan meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta hari ini bagi memberi peluang kepada kepimpinan baharu untuk mengetuai Bersatu Melaka dan supaya PN Melaka mempunyai masa mencukupi bagi membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Sementara itu, Ahmad Faizal berkata tiada desakan supaya Mohd Rafiq meletakkan jawatannya itu.
Dalam perkembangan berasingan, Ahli Parlimen Tambun itu mengalu-alukan kehadiran Ahli Parlimen Lahad Datu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Segama Datuk Mohamaddin Ketapi sebagai ahli Bersatu yang baharu secara rasmi hari ini.
"Saya percaya beliau yakin dengan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden Bersatu) sama seperti sebilangan besar rakyat yang selesa dengan kepimpinannya.
"Saya harap beliau (Mohamaddin) dapat bekerjasama rapat dengan saya dalam Bersatu dan berusaha untuk dapatkan sokongan rakyat dalam PRU akan datang melalui gabungan dalam PN," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!