Malaysia setuju ratifikasi Protokol 29 ILO hapus buruh paksa
KUALA LUMPUR - Malaysia telah bersetuju meratifikasi Protokol 29 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang merupakan protokol dalam Konvensyen Buruh Paksa sebagai bukti komitmen kerajaan untuk menghapuskan buruh paksa di negara ini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, kerajaan turut mengendors penyertaan Malaysia sebagai negara Pathfinder di bawah Perikatan 8.7 Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG).
“Malaysia komited mempercepat usaha serta kerjasama dengan komuniti antarabangsa untuk menghapuskan buruh paksa dan kesemua usaha serta inisiatif ini merupakan bukti komitmen kementerian serta kerajaan dalam memerangi buruh paksa.
“Bagi memastikan kesemua inisiatif ini dilaksana secara tersusun, Pelan Tindakan Nasional Berhubung Buruh Paksa (NAPFL) 2021 hingga 2025 telah dibangunkan,” katanya ketika pelancaran NAPFL 2021-2025 di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, bagi menghapuskan buruh paksa dalam apa jua bentuk di Malaysia, empat matlamat strategik dirumuskan iaitu memfokus kepada kesedaran, pelaksanaan, migrasi buruh dan akses kepada remedi serta perkhidmatan sokongan.
Saravanan berkata, Anggaran Global ILO 2017 menunjukkan bahawa sehingga 24.9 juta orang terlibat dalam buruh paksa di seluruh dunia dengan rantau Asia Pasifik mencatat angka tertinggi iaitu empat daripada setiap 1,000 orang merupakan mangsa buruh paksa.
Beliau berkata, Malaysia juga terbabit dalam isu buruh paksa apabila beberapa syarikat tempatan dikenakan sekatan eksport susulan penempatan negara di Tahap 3 dalam Laporan Pemerdagangan Orang 2021 oleh Amerika Syarikat dan Kanada.
“Sebagai sebuah negara perdagangan dan negara yang berpegang teguh kepada prinsip bahawa penderitaan manusia tidak boleh dibiarkan atau dikompromi, terutama yang membabitkan kebajikan pekerja, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif.
“Antara inisiatif itu ialah aplikasi mudah alih Working for Workers atau WFW. Aplikasi ini berfungsi sebagai platform dalam talian untuk semua pekerja memfailkan aduan dan rungutan tanpa perlu hadir ke Jabatan Tenaga Kerja atau Pejabat Buruh,” katanya.
Saravanan juga berkata, bagi mengatasi isu buruh paksa, pihaknya telah meletakkan prasyarat baharu untuk memantau kemasukan pekerja asing di negara ini.
Katanya, mana-mana agensi pekerja asing perlu meyakinkan dan mengemukakan bukti kepada Jabatan Tenaga Kerja berkaitan penyediaan penginapan yang sesuai untuk mereka yang dibawa masuk ke negara ini.
Beliau berkata, selain itu, bagi memastikan pekerja asing mendapat gaji pada masa yang ditetapkan, kerajaan akan memperkenal e-wages untuk memantau transaksi urusan tersebut.
“Pada masa yang sama, pekerja asing perlu menjalani kuarantin selama tujuh atau 14 hari mengikut zon serta taraf vaksin pekerja dan kita juga akan jalankan latihan di mana mereka mempelajari adat resam serta undang-undang negara ini selain pihak untuk dihubungi sekiranya ditimpa masalah,” katanya.
Saravanan juga berkata, pihaknya telah menerima draf cadangan Bangladesh untuk membawa masuk pekerja asing daripada 10 syarikat di negara itu.
Katanya, beliau telah meneliti cadangan itu dan akan membawa perkara tersebut kepada Jemaah Menteri dalam tempoh dua minggu untuk diputuskan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!