Kerajaan tumpu VTL negara jiran sebelum perluas ke negara lain

 Datuk Saifuddin Abdullah
Datuk Saifuddin Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan fokus mengadakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) dengan negara jiran terdekat buat masa ini sebelum diperluas ke negara lain, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, ketika ini, fokus adalah terhadap melancarkan VTL dengan Singapura dan Indonesia dengan pelancaran VTL bersama Singapura bakal diadakan 29 November ini.

"Buat masa ini kita fokus apa yang akan dilakukan dengan Singapura dan Indonesia sebelum meluaskan (VTL) kepada kawasan terdekat," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis penutup Sesi Pemukiman Sidang Kemuncak Asia-Eropah ke-13 (ASEM 13) secara maya di sini pada Jumaat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis berkata, Malaysia ketika ini sedang bekerjasama dengan beberapa rakan ASEM seperti Singapura dan Indonesia untuk melaksanakan VTL.

Ismail Sabri berkata, beliau berharap dengan penyambungan semula pergerakan penduduk antara negara akan membantu meningkatkan ekonomi, menghidupkan semula mata pencarian dan menyambung kembali hubungan silaturrahim.

"Matlamat utama kami adalah untuk menyelamatkan lebih banyak nyawa, terutamanya mereka yang terdedah kepada pandemik dan hidup dalam keadaan yang mencabar,” kata perdana menteri.

Mengulas mengenai ucapan Ismail Sabri pada Jumaat, Saifuddin berkata, Perdana Menteri mengulangi komitmen Malaysia terhadap hidup bersama secara aman dan menegakkan multilateralism sebagai kaedah terbaik memastikan ASEM dapat melaksanakan tugasnya secara sistematik untuk membasmi kemiskinan, kebuluran dan ketidakadilan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!