Pemain ke-12 perlu lebih berdisiplin depani cabaran norma baharu

IMBAS KEMBALI... Gelagat para penyokong Kuala Lumpur City FC yang merempuh masuk ke padang ketika meraikan kemenangan selepas menewaskan Selangor FC pada suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Kuala Lumpur pada 18 November lalu. - Foto fail Bernama
IMBAS KEMBALI... Gelagat para penyokong Kuala Lumpur City FC yang merempuh masuk ke padang ketika meraikan kemenangan selepas menewaskan Selangor FC pada suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Kuala Lumpur pada 18 November lalu. - Foto fail Bernama
A
A
A

SEHARI sebelum para penyokong dibenarkan kembali menyaksikan saingan Piala Malaysia 2021 pada 29 Oktober lalu, Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan ketika dihubungi Sukan Sinar sekali lagi mengingatkan komuniti sukan paling popular dunia itu supaya meletakkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sebagai keutamaan utama.

Malah bekas Ketua Pegawai Eksekutif MFL itu menyifatkan kebenaran bersyarat kepada para pemain ke-12 untuk kembali ke stadium diberikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu, merupakan satu kelonggaran istimewa yang diusahakan pentadbir liga bola sepak negara tersebut bagi memeriahkan sambutan ulangtahun piala keramat bola sepak negara berkenaan.

Nasihat berserta teguran Ab Ghani sebagai tulang belakang MFL disambut baik dalam kalangan penyokong puntuk beberapa perlawanan peringkat kumpulan sehinggalah insiden 7 November di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menjadi saksi pelanggaran SOP pertama apabila seorang penyokong Terengganu FC (TFC) berlari ke dalam padang meraikan jaringan pemain import Jordan Mintah pada perlawanan yang menyaksikan kemenangan 3-1 pelawat ke atas Selangor FC.

Ketika proses siasatan insiden sedang berlangsung, sekali lagi SOP dicemari kali ini dalam kalangan penyokong Kuala Lumpur City (KL City) yang teruja memasuki padang pada 19 November lalu bagi meraikan kejayaan kelab kesayangan skuad warga kota itu mara ke separuh akhir setelah menyingkirkan seteru setempat Selangor FC secara agregat 3-1 dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

MFL yang sejak awal tidak berkompromi dalam aspek pematuhan SOP itu mengenakan hukuman bermain tanpa penyokong terhadap KL City pada perlawanan separuh akhir pertama manakala TFC pula dikenakan amaran keras daripada pentadbir dua saingan liga tertinggi negara itu.

Seakan tidak serik dengan dua insiden di Petaling Jaya dan Cheras itu, kali ini aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada 22 November, sekali lagi jemaah pencinta liga bola sepak negara melanggar SOP dalam skala lebih besar ketika perlawanan separuh akhir kedua TFC menentang penyandang juara, Johor Darul Ta'zim (JDT) yang berkesudahan kedua-dua pasukan terikat 1-1.

ARTIKEL BERKAITAN: Penyokong masuk padang lagi....

TMJ bidas mutu pengadilan perlawanan TFC menentang JDT

Artikel Berkaitan:

Kawal emosi, hormati peraturan!

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengenakan kompaun RM10,000 terhadap TFC Sdn Bhd dan MFL di bawah Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021, selepas kedua-dua penganjur didapati gagal dalam pengurusan penonton melibatkan penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka dengan sempurna.

Tiga insiden yang mewarnai ulangtahun ke-100 Piala Malaysia ini sebenarnya sudah cukup menunjukkan keterujaan dalam kalangan penyokong dalam memeriahkan kembali industri bola sepak negara selepas hampir dua tahun suram penangan pandemik Covid-19.

Biarpun begitu adalah menjadi tanggungjawab kepada setiap jemaah pencinta bola sepak negara demi lencana di dada untuk sekali lagi mengelakkan insiden sama berulang dengan lebih berdisiplin dan matang dalam sebarang tindakan semasa di stadium pada ketika bola sepak sedang dipantau untuk dijadikan contoh pengiat-pengiat sukan lain dalam aspek berkaitan kehadiran semula penyokong masing-masing.

Sebarang pelanggaran SOP tidak hanya akan menjejaskan pasukan dan MFL dalam aspek pembayaran kompaun selain imej Liga Malaysia (Liga-M) tetapi juga berkemungkinan menyebabkan keistimewaan bersyarat dinikmati suasana perlawanan di stadium ditarik semula selepas ini.

Peperangan memutuskan rantaian Covid-19 masih belum berakhir pada ketika semua anggota komuniti mula menjalani kehidupan dalam norma baharu tidak terkecuali komuniti bola sepak dengan menghindari tercetusnya kluster bola sepak dari stadium dengan mematuhi SOP ditetapkan sebelum ini.

* Zuraimee Zainal ialah Penolong Editor Sukan Sinar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!