Ibu tunggal rugi RM17,800 ditipu pinjaman tidak wujud
JEMPOL - Seorang ibu tunggal kerugian RM17,800 akibat diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud.
Mangsa berusia 28 tahun itu diperdaya ahli sindiket terbabit selepas melihat satu iklan pinjaman wang di Facebook pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, mangsa kemudian berminat untuk membuat pinjaman berjumlah RM10,000 sebelum menekan pautan yang diberikan.
Menurutnya, selepas itu, mangsa menerima mesej dari aplikasi WhatsApp memaklumkan dia perlu membayar RM1,000 untuk urusan pinjaman.
"Mangsa membuat pindahan wang secara dalam talian berjumlah RM1,000 ke akaun bank milik seorang lelaki.
"Mangsa juga diminta masukkan wang berjumlah RM2,000 untuk urusan insurans dan mangsa telah masukkan wang tersebut ke akaun bank nama lelaki lain sebelum diminta lagi membuat pembayaran RM2,800 ke dalam akaun sama," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.
Chang Hook berkata, pada jam 10.40 pagi Jumaat, mangsa menerima mesej daripada nombor yang sama memberitahu sistem untuk memproses pinjamannya mempunyai masalah dan diminta membayar RM4,000.
"Selepas itu, mangsa diminta pula membuat dua kali pindahan wang ke akaun yang sama berjumlah RM8,000.
"Bagaimanapun, permintaan suspek meminta bayaran RM5,000 bagi urusan cukai pendapatan tidak dilayan selepas mangsa menyedari ditipu," katanya.
Katanya, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Bahau dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!