Bersatu tidak bertanding di semua 82 kerusi DUN Sarawak: Muhyiddin
MUAR - [DIKEMAS KINI] Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan meletakkan mana-mana calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, sebaliknya memberi laluan penuh kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) bertanding.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan tersebut sebagai menghormati GPS selain yakin kemampuan gabungan parti-parti tempatan di negeri itu untuk menang semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, perkara itu sudahpun dibincangkan di peringkat tertinggi Bersatu bagi memastikan parti komponen GPS menang dengan cemerlang.
"Ini juga hasrat pimpinan GPS. Kita percaya (GPS) mampu memberikan kemenangan besar sekali gus membuktikan sokongan Bersatu yang menghormati parti berkenaan.
"Walaupun kita ada tempat tertentu yang parti percaya kita boleh menang (jika bertanding), tetapi pandangan daripada pihak GPS perlu dihormati dan saya percaya GPS juga mempunyai kekuatannya tersendiri," katanya.
Ahli Parlimen Pagoh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir itu berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Bersatu Bahagian Pagoh kali ke-3 di Dewan Belia Batu 28, Lenga dekat sini pada Sabtu.
Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebelum ini menegaskan, GPS kekal dengan keputusan bertanding di semua 82 kerusi DUN.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Disember ini sebagai hari pengundian PRN Sarawak, hari penamaan calon pada 6 Disember, manakala pengundian awal pada 14 Disember.
Mengulas lanjut, Muhyiddin tidak menolak kemungkinan GPS bekerjasama dengan parti-parti komponen PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Pandangan daripada pihak GPS adalah kerusi sedia ada dikekalkan, cuma di peringkat PRU15 nanti ada gambaran yang mengatakan mungkin GPS akan memberi pertimbangan di mana parti lain boleh bersama-sama mereka termasuk PN," katanya.
Bagaimanapun katanya, Bersatu kita tetap menghormati sebarang pandangan GPS dan atas dasar itu, jentera Bersatu akan membantu untuk memastikan GPS capai kemenangan besar dalam PRN Sarawak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!