Gajah jantan ceroboh perumahan penduduk berjaya ditangkap
ROMPIN - Seekor gajah jantan yang menceroboh masuk ke kawasan perumahan nelayan Sungai Puteri di sini berjaya ditangkap dalam kawasan hutan berhampiran perumahan itu pada Jumaat.
Ketua Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman berkata, gajah berumur antara 15 hingga 20 tahun itu berjaya ditangkap kira-kira jam 11 pagi.
Menurutnya, pihak PKGK Kuala Gandah menggerakkan usaha mengesan haiwan itu selepas menerima aduan daripada penduduk setempat.
"Hasilnya, gajah itu berjaya dikesan dan ditangkap melalui operasi disertai 20 anggota Unit Tangkapan Gajah (UTG) PKGK Kuala Gandah dan UTG Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang dibantu kakitangan Perhilitan Rompin.
"Keadaan kawasan hutan yang kecil dan terletak di kawasan penempatan penduduk memudahkan operasi mengesan dan menangkap gajah tersebut untuk dipindahkan," katanya kepada pemberita pada Sabtu.
Che Ku Mohd Zamzuri berkata, haiwan itu dipercayai keluar dari kawasan Hutan Simpan Menchali, di sini untuk mencari makan dan kali terakhir dilihat di kawasan terbabit pada Isnin lalu.
"Pihak PKGK memandang serius kehadiran gajah di kawasan perumahan nelayan Sungai Puteri kerana ia boleh mendatangkan ancaman kepada penduduk.
"Laluan ke kawasan gajah itu diikat kini ditutup sementara bagi mengelak penduduk menghampiri lokasi itu.
"Gajah berkenaan akan dipindahkan dalam masa terdekat dengan bantuan dua ekor gajah denak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!