JSJK Bukit Aman perkasa kempen kesedaran penipuan dalam talian
KUALA LUMPUR - Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman giat memperkasakan kempen pencegahan jenayah komersial dalam talian secara tahunan dalam usaha meningkatkan kesedaran orang ramai tentang modus operandi sindiket penipuan dalam talian.
Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik) JSJK, Senior Asisten Komisioner Nor Azman Muhammad Yusuf berkata, menerusi kempen tersebut anggotanya mengedarkan risalah mengenai trend penipuan antaranya melibatkan Macau Scam, Love Scam dan penipuan pembelian dalam talian.
"Kita berharap dengan pembacaan risalah berkenaan dan perbualan ringkas antara anggota polis dengan masyarakat dapat memberi kefahaman kepada mereka seterusnya berkongsi dengan ahli keluarga mengenai penipuan dalam talian," katanya pada sidang akhbar di Plaza Tol Jalan Duta di sini pada Sabtu.
Nor Azman berkata, walaupun masih belum ada kesedaran menyeluruh tetapi pihaknya yakin menerusi kempen tersebut pemahaman orang ramai akan terus meningkat sekali gus mengurangkan kadar jenayah penipuan dalam talian.
"Kempen yang diadakan selama sebulan sejak 1 November lalu menunjukkan trend penurunan daripada laporan yang diterima.
"Bagaimanapun kajian masih dijalankan mengenai keberkesanan kempen ini dari segi statistik kes yang dilaporkan dalam tempoh ia dilaksanakan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!