Datuk Bandar Miri dijangka bertanding di Pujut

Adam Yii - Foto fail Bernama
Adam Yii - Foto fail Bernama
A
A
A

MIRI - Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM), Adam Yii dijangka diletak sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pujut di sini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, 18 Disember ini.

Adam Yii yang merupakan Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) cawangan Pujut berkata, sekiranya diberi peluang, beliau akan memberi khidmat baktinya kepada masyarakat dengan penuh dedikasi.

“Ada kemungkinan (untuk menjadi calon). Jadi kita perlu menunggu Pengerusi GPS (Tan Sri Abang Johari Tun Openg) untuk mengumumkan,” katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Mengulas mengenai situasi di DUN Pujut, Adam Yii berkata, pada dua pilihan raya lepas, kerusi itu dimenangi oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP), sekali gus menunjukkan pengundi di sana cenderung untuk mengundi parti pembangkang itu.

“Namun waktu telah berubah, pelbagai isu telah ditimbulkan oleh calon DAP di kawasan itu, maka isunya juga berubah-ubah, kali ini kita akan lakukan yang terbaik jika diberikan peluang oleh rakyat,” katanya.

Adam Yii sememangnya sudah dikenali dalam kalangan hampir 30,000 pengundi majoriti Cina di sini dan disifatkan calon paling sesuai ditampilkan oleh GPS.

SUPP juga memiliki jentera akar umbi yang lebih baik di Pujut, di mana mereka mempunyai kira-kira 5,000 ahli berdaftar.

Pada PRN Sarawak ke-11, calon SUPP, Hii King Chiong kalah di DUN Pujut kepada calon DAP, Dr Ting Tiong Choon, dengan majoriti 1,759 undi. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!