Had kekerapan penerbangan punca tiket naik harga

Riad Asmat
Riad Asmat
A
A
A

SHAH ALAM - Jumlah kekerapan penerbangan yang dihadkan menjadi faktor utama lonjakan harga tiket bagi semua syarikat penerbangan.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, sebagai penerbangan kos rendah, pihaknya memerlukan jumlah inventori yang tinggi untuk membolehkan penawaran harga tiket yang rendah kepada penumpang.

Menurutnya, pematuhan terhadap kekerapan penerbangan yang dihadkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC) menyebabkan pengurangan inventori tiket penerbangan yang ditawarkan.

“Ia seterusnya menyebabkan mekanisme penetapan harga dinamik kami menghasilkan harga yang tinggi apabila tiket pada harga rendah telah habis terjual.

“Operasi kami berlandaskan kecekapan ekonomi iaitu dengan mendapatkan jumlah penumpang yang tinggi dan seterusnya membahagikan penjimatan kos kepada mereka hingga membolehkan penumpang menikmati tambang rendah dan banyak penjimatan.

“Harga purata untuk tambang penerbangan AirAsia antara Sarawak dan Semenanjung sebelum ini hanya sekitar RM160 sehala setiap penumpang dengan mengambil kira harga tertinggi dan terendah termasuk semasa menawarkan jualan promosi tambang percuma,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, model penetapan harga AirAsia adalah berdasarkan permintaan dan penawaran dan ia sama seperti syarikat penerbangan lain seluruh dunia.

Katanya, secara umumnya, harga tiket akan meningkat semakin hampir ke tarikh penerbangan dan juga semasa musim cuti, apabila hampir semua penerbangan hampir penuh sehingga 90 peratus.

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah, untuk rekod, AirAsia mengendalikan lebih 300 penerbangan mingguan ke Sarawak bagi tempoh sebelum pandemik Covid-19 yang menghubungkan Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu dengan Kuala Lumpur, Penang, Johor Bahru, Kota Kinabalu serta pelbagai destinasi di Malaysia.

“Untuk laluan Kuala Lumpur-Kuching sahaja, kami mengendalikan sebanyak 12 hingga 15 penerbangan sehari sebelum tempoh pandemik.

“Tetapi dengan kelulusan terbaharu Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS), kami hanya dibenar mengendalikan lima penerbangan harian bagi laluan popular ini dan mengurangkan 67 peratus dalam kapasiti kami disebabkan sekatan oleh SDMC.

“Ramai telah mendapatkan tiket kami pada harga rendah dengan harga antara Kuala Lumpur dan Sarawak serendah RM99 sehala semasa jualan promosi pada Oktober lepas.

“Jelas bahawa permintaan sememangnya tinggi tetapi buat masa ini kami tidak dapat memenuhinya sehinggalah kelulusan diberikan untuk lebih banyak penerbangan,” kata Riad.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!