Maritim Malaysia rampas 39 set bubu naga

Anggota Maritim Malaysia mengangkat bubu naga yang ditemui di tiga lokasi di perairan Pulau Pinang pada Jumaat.
Anggota Maritim Malaysia mengangkat bubu naga yang ditemui di tiga lokasi di perairan Pulau Pinang pada Jumaat.
A
A
A

GEORGETOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang merampas 39 set bubu naga di tiga lokasi di perairan negeri ini pada Jumaat.

Pengarah Maritim Malaysia Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, rampasan ini dibuat hasil aduan awam serta rondaan rutin Op Pertiwi di perairan Pulau Pinang.

Menurutnya, 39 set bubu naga itu ditemui di sekitar 3.4 batu nautika barat daya Pulau Aman antara jam 6.45 petang hingga 7.55 malam.

"Semasa rondaan, pasukan operasi telah melakukan pemerhatian khusus terhadap lokasi aduan dan telah menjumpai sejumlah 39 set bubu naga yang dipasang di perairan berhampiran Pulau Aman.

"Bubu naga dengan anggaran nilai hampir RM4,680 itu dirampas serta dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Abd Razak berkata, penggunaan bubu naga diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain.

Bubu naga yang dirampas Maritim Malaysia di tiga lokasi di perairan Pulau Pinang pada Jumaat.
Bubu naga yang dirampas Maritim Malaysia di tiga lokasi di perairan Pulau Pinang pada Jumaat.

Katanya, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

"Nelayan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukkan.

"Maritim Malaysia akan terus memantau aktiviti haram ini dari masa ke semasa dan meminta kerjasama orang ramai agar segera melaporkan sebarang kejadian dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini," katanya.

Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!