'Tidak mustahil laksana cadangan jika jadi pemerintah'

Muhammad Sanusi (kiri), Amiruddin (kanan).
Muhammad Sanusi (kiri), Amiruddin (kanan).
A
A
A

ALOR SETAR - Tidak mustahil untuk melaksanakan cadangan yang dianggap ‘lawak’ atau sukar sekiranya ada kemahuan selain memegang kuasa pemerintahan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tanggapan sesetengah pihak berkaitan ideanya ketika bergelar ketua pembangkang sebelum ini bukannya sesuatu yang mustahil, kerana sebahagian telah pun dilaksanakan.

Menurutnya, dua daripada tiga cadangan beliau untuk meningkatkan hasil pendapatan negeri telah pun dilaksanakan secara berperingkat.

“Tiada yang mustahil apabila kita ada kuasa pentadbiran. Cadangan itu ketika saya pembangkang, membuktikan ia bukan cadangan remeh atau tak masuk akal, sebab sebahagian telah dilakukan.

"Ada juga wakil rakyat yang cadang macam-macam selepas tidak lagi jadi kerajaan, tapi tak buat pula masa dalam kerajaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi memberitahu, tiga cadangan beliau itu adalah agar tanah persendirian berstatus pertanian yang dibangunkan aktiviti perniagaan diubah status bagi membolehkan kerajaan negeri mengutip cukai.

“Dua lagi cadangan saya ketika itu, berkaitan tiang Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dipacak atas tanah kerajaan negeri serta tanah yang dijadikan lebuh raya di negeri ini dikenakan cukai bagi menambahkan hasil,” katanya.

Menurutnya, buat masa ini, semua premis perniagaan yang tanahnya bersyarat pertanian terutama di sepanjang jajaran jalan raya dari Tandop ke Kota Sarang Semut dilakukan pemutihan.

Artikel Berkaitan:

“Pentadbiran tanah sedang dalam usaha mengenal pasti dan melakukan pemutihan menukar syarat kawasan terlibat secara berperingkat. Kita harus teliti bagi mengelak masalah lain berbangkit.

“Perbincangan lanjut dan kerjasama semua agensi terlibat diperlukan bagi memastikan tindakan ke atas pelanggaran syarat pertanian itu tidak bebankan rakyat, pada masa sama dapat meningkatkan hasil negeri,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, lot tanah yang terlibat dengan jajaran lebuh raya utara selatan bermula dari Bukit Kayu Hitam ke Bandar Baharu telah dikeluarkan hak milik dan dikenakan cukai tanah.

“Sebahagian tapak terlibat telah dikeluarkan hak milik terutama kawasan Rehat & Rawat (R&R) dan telah dikenakan cukai tanah, sebahagian lagi masih dalam proses,” katanya lagi.

Menurutnya, cadangan untuk menguatkuasakan semua tiang letrik/lampu TNB yang dipasang atas rizab jalan raya akan diperhalusi.

“Yang ini kita tak buat lagi, pentadbiran tanah negeri akan teliti perkara ini. Kalau boleh laksana, Alhamdulilah,” katanya.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah 15 November lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah membangkitkan perkara itu berikutan Muhammad Sanusi kini mempunyai kuasa untuk melaksanakan cadangan terbabit selepas dilantik menerajui Kedah.

BERITA BERKAITAN: Cadangan Sanusi ketika jadi pembangkang dibangkitkan semula

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!