Musim tengkujuh punca harga ikan naik

Syed Abu Hussin Hafiz (dua dari kanan) menyerahkan kotak ikan berinsulasi kepada nelayan di Jeti Sungai Kelubong, Bukit Gantang pada Sabtu.
Syed Abu Hussin Hafiz (dua dari kanan) menyerahkan kotak ikan berinsulasi kepada nelayan di Jeti Sungai Kelubong, Bukit Gantang pada Sabtu.
A
A
A

BUKIT GANTANG - Penurunan pendaratan ketika musim tengkujuh menyebabkan kekurangan bekalan ikan tempatan yang mengakibatkan berlakunya kenaikan harga.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, kenaikan harga itu bagaimanapun disifatkan sebagai sementara di pasaran negara.

Menurutnya, LKIM telah mengambil langkah awal dengan sentiasa memantau bekalan ikan bagi mengelakkan kenaikan harga mendadak.

"Ini normal yang berlaku dalam pasaran kerana apabila musim tengkujuh atau ribut di laut, pendaratan ikan berkurangan sebab nelayan tidak ke laut, maka harga akan naik sikit.

"Jadi sekarang ikan yang disimpan peniaga secara sejuk beku akan dikeluarkan terlebih dahulu untuk menstabilkan pasaran," katanya pada Program Jelajah Prihatin Nelayan dan Penyerahan Bantuan Kotak Ikan Berinsulasi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sungai Tinggi di Jeti Sungai Kelubong di sini pada Sabtu.

Syed Abu Hussin Hafiz berkata, pihaknya akan menambah kapasiti ikan import bagi menampung penawaran dan permintaan pasaran dalam negara sekiranya bekalan ikan terputus.

"Kita akan pantau serta tengok perkara ini berlanjutan atau tidak dan kalau berlanjutan pengimport akan dibenarkan mengimport lebih ikan supaya dapat stabilkan harga pasaran.

"Kebenaran mengimport lebih ikan merupakan perancangan jangka masa panjang untuk menstabilkan harga pasaran, namun untuk jangka masa pendek kita akan biarkan mengikut pasaran terapung," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya sama ada kenaikan harga ayam mempengaruhi kekurangan bekalan serta kenaikan harga ikan, Syed Abu Hussin Hafiz tidak menolak kemungkinan berkenaan.

"Secara umum kita dengar macam-macam kenaikan harga ayam, yang mana kalau naik tidak turun, tetapi harga ikan mengikut musim, ada waktu ikan banyak boleh dapat RM5 sekilogram.

"Mungkin juga permintaan ikan lebih banyak sekarang tetapi faktor utama kekurangan bekalan adalah disebabkan oleh nelayan tidak dapat turun ke laut, itu faktor utama," katanya.

Pada majlis itu, seramai 100 nelayan menerima kotak ikan berinsulasi yang bernilai RM200 setiap satu bagi memastikan hasil tangkapan mereka kekal segar selepas ditangkap.

Katanya, pemberian itu dapat meringankan beban nelayan membeli peralatan perikanan dan seterusnya dapat meningkatkan pendapatan serta kapasiti tempat penyimpanan hasil tangkapan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!