Safiq sudah minta maaf: TMJ
"KITA manusia, kita tidak sempurna."
Demikian reaksi pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika ditanya pelayar Internet berhubung insiden pemain tengahnya, Safiq Rahim yang menanduk Faisal Halim sehingga dilayangkan kad merah pada separuh akhir kedua Piala Malaysia, malam tadi.
Jelas Tunku Mahkota Johor itu, pemain berpengalaman itu sudah pun meminta maaf kepada keseluruhan pasukan susulan tindakannya yang menyebabkan pasukan terpaksa beraksi hampir keseluruhan permainan dengan 10 pemain.
"Setiap orang atau individu membuat silap. Kita manusia, kita tidak sempurna. Safiq kesal dengan tindakan dia dan dia minta maaf kepada semua pemain, jurulatih dan kakitangan.
"Itu sahaja. Ia sudah berakhir dan kita lupakannya," kata Tunku Ismail menerusi akaun Twitternya.
Terdahulu, insiden bekas kapten pasukan kebangsaan itu menanduk Faisal yang juga pemain Terengganu FC (TFC) pada minit ke-15 menjadi tular di laman media sosial apatah lagi ia turut ditayangkan secara langsung menerusi platform Youtube.
Pada insiden yang tercetus sejurus selepas tuan rumah meledak gol ketiga, Safiq terlebih dahulu mengasari Faisal yang cuba melepasi kawalan pertahanan skuad Harimau Selatan, S Kunanlan.
Selepas dikasari, Faisal dilihat menjerit ke arah Safiq dan selepas itu, bekas pemain kebangsaan itu terus 'menghentam' kepala Faisal sekali gus dilayangkan kad merah oleh pengadil.
Riak wajah bekas pemain Selangor itu jelas menunjukkan perasaan kecewa dan dia meninggalkan padang dengan menutup wajahnya menggunakan jersi.
Bagaimanapun, JDT yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain untuk lebih 75 minit tidak berdepan masalah untuk mara ke final selepas mendahului dengan tiga gol dalam tempoh 14 minit.
Safiq bagaimanapun terlepas aksi final Selasa ini kerana digantung akibat kad merah berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!