i-Breath berada di pasaran pada 2022

Dr Adham (kanan) mendengar penerangan ketua projek, pensyarah kanan UTM, Prof Madya Dr Malarvili Bala Krishnan berkenaan prototaip i-Breath di Kota Tinggi, pada Sabtu.
Dr Adham (kanan) mendengar penerangan ketua projek, pensyarah kanan UTM, Prof Madya Dr Malarvili Bala Krishnan berkenaan prototaip i-Breath di Kota Tinggi, pada Sabtu.
A
A
A

KOTA TINGGI - Peranti mudah alih saringan dan pemantauan Covid-19 iaitu i-Breath yang dibangunkan Kementerian Sains, Teknologi dan Invovasi (MOSTI) dengan kos RM1.05 juta dijangka berada di pasaran tahun depan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, peranti ujian tersebut yang dibangunkan dengan teknologi terkini mampu memberi keputusan pantas dalam tempoh 20 saat bagi mengesan Covid-19.

Tambah beliau, i-Breath akan digunakan di lokasi penting yang memerlukan keputusan ujian Covid-19 pada kadar segera. Ini juga boleh membantu usaha mencegah dan mengawal penularan Covid-19.

"Kajian klinikal Pusat Perubatan Universiti Malaya (UM) menunjukkan sensitiviti alat ini sehingga 93 peratus dengan hanya perlu bernafas untuk menjana keputusan dalam masa singkat.

"Kita jangkai-Breath dapat dipasarkan tahun depan. Kaedah ini kini dalam peringkat prototaip dan dalam proses klinikal. Kita perlu menunggu enam bulan untuk disahkan," katanya.

Beliau berkata berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Ruang Reka Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) Keluarga Malaysia Parlimen Tenggara dan Showcase Prototaip Peranti i-Breath di Pusat Perkhidmatan dan Transit Pelancongan Batu Ampat di sini pada Sabtu.

Dr Adham memberitahu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan universiti terbabit akan menguji prototaip itu selepas enam bulan supaya dapat menghasilkan satu produk bertaraf antarabangsa.

Jelasnya, i-Breath merupakan satu kejayaan baharu dalam kaedah ujian Covid-19 selain kaedah Polymerase Chain Reaction (PCR) atau ujian pantas (RTK) antigen yang digunakan pada masa ini.

Artikel Berkaitan:

"Ini merupakan satu ujian baharu dalam mengawal Covid-19 dengan kaedah lebih mudah dan sangat membantu di peringkat sekolah," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tenggara berkata, ruang reka tersebut dilengkapi dengan dapur pintar pertama di Malaysia dan telah direalisasikan oleh Yayasan Inovasi Malaysia (YIM).

Tambahnya, ruang reka berkenaan merangkumi alatan automasi dan mesin daripada ekosistem inovasi YIM bagi membantu penghasilan makanan dan pengkomersialan produk tradisional.

"Kita akan buka ruang reka dapur pintar di Bera, Pahang dan Kota Kinabalu, Sabah. Perkara ini dalam peringkat permulaan namun kita lihat keberkesanannya kerana ia bukan hanya dilaksanakan di negara kita tetapi sudah dilakukan di negara luar," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!