UMNO Sabah sedia teliti cadangan daftarkan GRS
KOTA KINABALU - UMNO Sabah sedia berbincang untuk meneliti cadangan mendaftarkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai gabungan parti politik rasmi.
Bagaimanpun, ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ada beberapa perkara perlu diteliti berhubung cadangan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Salleh Said Keruak.
"Mungkin itu pandangan peribadi beliau dan perkara ini kita perlu teliti keburukan dan kebaikannya.
"Bagi UMNO Sabah, kita sedia berbincang untuk meneliti cadangan-cadangan tersebut," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Piala Datuk Seri Bung Moktar Radin di Kompleks Sukan Likas pada Sabtu.
Mengulas berhubung pandangan Salleh bahawa tindakan itu bagi mengelak berlaku pertembungan antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), Bung Moktar berkata, mungkin beliau kurang memahami mengenai perkara berkenaan.
"Mungkin ada pandangan-pandangan yang dia tidak berapa 'catch up' tetapi kita akan teliti cadangan-cadangan ini. Kita akan bincangkan ke arah lebih baik," katanya.
Pada Jumaat lalu, Salleh yang juga Pengerusi Kelab Backbenchers GRS mencadangkan supaya GRS segera didaftar sebagai gabungan politik rasmi dalam usaha memperkasa ahli parti komponen dan hala tuju gabungan itu.
Katanya, usaha mengukuhkan GRS amat penting bagi menunaikan tanggungjawab kepada rakyat Sabah terutama dalam membangunkan ekonomi negeri, mencipta peluang pekerjaan dan mempersiap generasi muda sebagai pemimpin masa depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!