KKMM sasar PEDi beri manfaat 800,000 usahawan
KOTA BHARU - Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menyasarkan seramai 800,000 usahawan di seluruh negara akan mendapat manfaat latihan kemahiran asas digital menerusi Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi).
Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Seri Mohammad Mentek berkata, setakat ini di seluruh negara terdapat sebanyak 873 pusat internet desa, yang akan dijenamakan semula menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebagai PEDi.
Katanya, bilangan pusat berkenaan akan ditingkatkan dari masa ke semasa dan pihaknya menyasarkan sebanyak 1,083 PEDi akan beroperasi di seluruh negara, bermula tahun depan.
“Pusat ini juga selaras dengan hasrat Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa yang menyasarkan untuk mewujudkan sebanyak 132 PEDi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu sekurang-kurangnya satu atau dua di setiap kawasan DUN.
“Selain itu di bawah kementerian, terdapat 37 pusat internet desa yang kita akan serahkan kepada SKMM untuk dijadikan sebagai PEDi. Di Kelantan, kita menjangkakan sebanyak tujuh PEDi akan diwujudkan dan dua buah pusat internet desa akan ditukarkan kepada PEDi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat PEDi di Taman Desa Kemumin, Padang Tembak, Pengkalan Chepa, di sini pada Sabtu yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Kawal Selia SKMM, Zulkarnain Mohd Yasin dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Mahadhir Aziz.
Mengulas lanjut Mohammad berkata, pusat berkenaan akan menjadi pemangkin kepada ekonomi digital, yang merupakan instrumen penting untuk negara menuju ke arah usaha pemulihan dan menjamin ketahanan masa depan ekonomi Malaysia.
Katanya, menerusi pusat itu, SKMM akan bekerjasama dengan MDEC untuk melaksanakan pelbagai kursus secara percuma kepada masyarakat, khususnya membabitkan ekonomi digital agar lebih ramai usahawan yang bergiat aktif dalam ekonomi digital.
“Di PEDi, mereka yang hadir kursus akan didedahkan dengan perkongsian penggunaan internet, ekonomi digital, perniagaan secara dalam talian dan sebagainya, di mana sekurang-kurangnya dua atau tiga tenaga pengajar akan ditempatkan di pusat berkenaan.
“Kita lihat mereka yang bergiat aktif dalam ekonomi digital ini berjaya meningkatkan pendapatan mereka sehingga tiga hingga lima kali ganda. Malah menerusi platform ini juga, urus niaga lebih terjamin selain ia mengikut trend terkini sekali gus dapat menjana pendapatan yang lebih baik kepada mereka yang terlibat,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!