MAFI giat atur karnival bantu PKS terjejas akibat Covid-19

Haslina Abdul Hamid
Haslina Abdul Hamid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) kini giat mengatur program karnival jualan secara fizikal bagi membantu usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bangkit semula selepas terjejas akibat pandemik Covid-19.

Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, inisiatif melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu dilaksanakan supaya usahawan dapat mengedarkan produk mereka ke pasaran lebih luas.

“Kami maklum kini ramai usahawan amat memerlukan bantuan pemasaran bagi produk agromakanan sama ada secara fizikal atau dalam talian untuk meneruskan, bukan hanya perniagaan, malah kehidupan mereka.

“Usaha ini secara tidak langsung memberikan ruang dan peluang kepada lebih ramai usahawan terutama PKS serta peniaga mikro yang terjejas akibat Covid-19,” katanya pada Karnival Agrofiesta di pasar raya Lotus’s Cheras di sini pada Sabtu.

Karnival itu, yang diadakan dari Khamis lepas hingga 5 Disember ini, diharap dapat membantu usahawan agromakanan yang sebelum ini terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan meningkatkan ruang pasaran dan mempromosikan produk secara terus kepada pengguna.

Haslina berkata, MAFI juga telah mengadakan libat urus bersama pihak Lotus’s (Malaysia) Sdn Bhd pada Mei lepas susulan peralihan pengurusan Tesco kepada Lotus’s supaya pasar raya itu dapat memberi kuota pembekalan dan kemasukan bagi produk agromakanan khususnya PKS Asas Tani ke pasar raya berkenaan.

Katanya, susulan itu, pendekatan kolaborasi yang sedang berlangsung antara FAMA dan pasar raya besar seperti Lotus’s perlu dicontohi oleh agensi kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan lain.

Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Yang Razali berkata menjelang 2030, sumbangan sektor agromakanan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar diunjurkan meningkat kepada 5 peratus berbanding 2.3 pada 2020.

Artikel Berkaitan:

“Antaranya melalui Jualan Terus Dari Ladang yang merupakan program di bawah inisiatif yang mencatatkan nilai jualan sebanyak RM2.3 juta di seluruh negara dengan penyertaan 364 peserta di 278 lokasi seluruh Malaysia,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!