Pemilik bar dikompaun RM20,000, langgar SOP Fasa Empat PPN
KUALA LUMPUR - Seorang pemilik premis sebuah bar dikompaun sebanyak RM20,000 kerana disyaki melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya terkesan satu video tular berdurasi 14 saat berhubung kes itu yang dimaut naik oleh seorang pemilik akaun Twitter, pada Sabtu.
"Video itu memaparkan sekumpulan individu sedang berhibur di sebuah premis yang didapati melanggar SOP Fasa Empat PPN dengan tidak melaksanakan penjarakan fizikal dan pematuhan kepada arahan Ketua Pengarah Kesihatan," katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.
Noor Dellhan berkata, pihaknya menjalankan pengesanan ke atas pemilik premis tersebut sebaik sahaja video tersebut tular.
"Pemilik premis tersebut dikenal pasti dan telah dihubungi untuk hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk rakaman percakapan.
"Sebaik sahaja rakaman percakapan selesai, pemilik premis itu dikompaun sebanyak RM20,000 mengikut Peraturan 16 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!