‘Platform reformasi negara’

Gambar hiasan. (Datuk Dr Nungsari Ahmad Radhi)
Gambar hiasan. (Datuk Dr Nungsari Ahmad Radhi)
A
A
A

SHAH ALAM - Better Malaysia Assembly atau Himpunan Malaysia Yang Lebih Baik merupakan platform yang terbaik untuk melaksanakan reset atau reformasi dan meletakkan negara ke arah satu landasan baharu.

Pakar ekonomi yang juga antara 55 tokoh yang terlibat dalam Himpunan Malaysia Yang Lebih, Datuk Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata, institusi demokrasi sepatutnya menjadi pentas politik untuk membahaskan dan membentuk satu wacana yang dapat mencorakkan masa depan Malaysia.

“Inisiatif ini diharapkan mampu menjadi ruang untuk mendapatkan pandangan pelbagai lapisan masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO) mengenai reformasi yang perlu ada serta ke arah mana mahu kita pergi bersama.

“Negara kini berada pada landasan yang kian mencabar baik dari segi perpaduan, pengertian kenegaraan yang bersama, kemantapan pertumbuhan, pembangunan ekonomi dan daya saing negara di rantau Asia dan juga di pentas dunia.

“Malaysia yang dahulunya ekonomi ketiga terbesar di ASEAN sekarang menurun ke peringkat yang keenam,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Pengerusi Ikhlas Capital, Tan Sri Mohamed Nazir Tun Abdul Razak bersama 54 orang lagi tokoh masyarakat, bekas pemimpin dan tokoh korporat bergabung tenaga membentuk apa yang dinamakan Himpunan Malaysia Yang Lebih Baik untuk berbincang, berbahas dan mengemukakan idea-idea dan syor ke arah Malaysia yang lebih baik pada masa hadapan.

Kumpulan ini yang bakal berkolaboratif secara musyawarah selama dua tahun akan membentangkan syor atau cadangan tentang bagaimana demokrasi, institusi dan ekonomi negara kita harus berfungsi dengan lebih baik dan berkesan.

Nungsari berkata, perubahan politik yang berlaku pada Mei 2018 lalu masih belum stabil, malah pengertian Persekutuan Malaysia sendiri dipertikaikan, bukan sahaja soal bangsa, bahasa tetapi juga agama.

Artikel Berkaitan:

“Kita melihat kelemahan pelbagai institusi negara yang semakin membimbangkan dan pelbagai skandal seperti syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terjadi.

“Landasan negara kini dilihat lebih menjurus pada keadaan yang menjadikan Malaysia tidak berdaya saing, tidak ada kesepakatan, ketidakseimbangan antara minoriti kecil yang berada dan majoriti yg tidak berada.

“Kita perlukan satu perubahan dengan mendapatkan pandangan secara terus daripada rakyat.

“Demikian yang saya faham tentang inisiatif ini dan sebab itu jugalah saya menyokongnya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!