Rakyat sambut baik usaha bentuk kumpulan pemikir masa depan Malaysia

Laporan Sinar Harian pada Khamis (Atas: Syahirah, Kok Sin. Bawah: Herizal, Amira Wirdany, Subashini)
Laporan Sinar Harian pada Khamis (Atas: Syahirah, Kok Sin. Bawah: Herizal, Amira Wirdany, Subashini)
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat Malaysia menyambut baik pembentukan kumpulan ‘Better Malaysia Assembly’ atau Musyawarah Demokrasi Malaysia yang terdiri daripada 55 anggota dan diusahakan oleh Pengerusi Ikhlas Capital, Tan Sri Mohamed Nazir Tun Abdul Razak.

Kumpulan tersebut yang berkolaboratif secara musyawarah selama dua tahun akan membentangkan syor tentang bagaimana demokrasi, institusi dan ekonomi negara harus berfungsi dengan lebih baik dan berkesan.

Pegawai multimedia, Amira Wirdany Sahimi, 22, berkata, inisiatif tersebut merupakan satu langkah yang baik kerana ia membuka ruang kepada pihak berkepakaran untuk berkongsi maklumat dan memberi pandangan mereka.

Ujarnya, parti kerajaan atau pembangkang perlu mengetepikan perbalahan isu politik yang dilihat merencatkan amalan demokrasi di negara ini.

“Demokrasi adalah hak kebebasan. Siapa saja berhak memilih, menyokong atau membangkang.

“Oleh itu, saya menyokong penuh usaha membentuk musyawarah demokrasi ini,” katanya kepada Sinar Ahad.Pada Jumaat, Mohamed Nazir bersama 54 orang lagi tokoh masyarakat, bekas pemimpin dan tokoh korporat bergabung tenaga membentuk Musyawarah Demokrasi Malaysia untuk berbincang, berbahas dan mengemukakan idea-idea serta syor ke arah Malaysia yang lebih baik pada masa hadapan.

Pengurus Pusat Timbang Sawit, Layang-Layang, Syahirah Mohd Ali, 25, pula berkata, kumpulan tersebut diharap dapat menjalankan tugas mereka sebaik mungkin dan bukan sekadar omong kosong sahaja.

“Kita tidak mahu ia sekadar menjadi satu perbincangan yang sia-sia.

Artikel Berkaitan:

“Saya rasa musyawarah berkenaan merupakan satu usaha yang baik.

“Kalau dilihat kepada fokus syor yang akan dibincangkan, ia dilihat membantu membentuk sebuah negara yang lebih baik pada masa hadapan,” ujarnya.

Dalam pada itu, pekerja swasta, Wong Kok Sin, 30, pula berpendapatan, negara amat memerlukan pandangan daripada pakar-pakar tertentu dan tidak boleh hanya bergantung pada ahli politik semata-mata.

“Keadaan politik sekarang tidak stabil, rakyat pun tidak begitu percaya pada ahli-ahli politik sebab tercetusnya budaya lompat parti.

“Demi pembangunan Malaysia yang lebih baik, kita tidak boleh bergantung kepada ahli politik sahaja, perlu lebih ramai profesional dan pemimpin daripada pelbagai peringkat untuk membuat reformasi,” kata beliau.

Sementara itu, pekerja swasta, Herizal Amriz Hismat Alang, 27, memberitahu, perbincangan kumpulan tersebut seharusnya melahirkan idea atau kaedah baharu dalam menyelesaikan masalah masyarakat masa kini.

“Bagi saya, perbincangan (kumpulan) tersebut adalah perlu hingga dapat penyelesaian terbaik. Banyak sistem perlu dirombak semula atau ditambah baik seiring dengan peredaran zaman.

“Generasi akan datang patut dapat kemudahan lebih baik berbanding apa yang ada sekarang dan memberi impak lebih besar,” ujarnya.

Di samping itu, pekerja syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Subashini Jeyaraman, 25, berpendapat, inti pati perbincangan kumpulan tersebut tidak seharusnya berat sebelah, sebaliknya memberi manfaat kepada semua pihak.

“Saya percaya idea berkenaan bagus tapi sangat berharap perbahasan atau lontaran cadangan kami diterima tanpa berat sebelah terutamanya jika isu itu bersifat kontroversi tetapi memanfaatkan komuniti pada jangka masa panjang.

“Selain itu, pastikan juga para pembahas tidak mencadangkan idea yang boleh menindas komuniti lain di negara ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!