Kes bunuh: Pemilik akaun media sosial akan dipanggil
IPOH - Polis telah mengenal pasti pemilik akaun laman sosial yang memuat naik gambar dan hantaran tidak benar berhubung kejadian bunuh seorang lelaki di Flat Jalan Ashby di sini pada Khamis.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, mereka yang terlibat akan dipanggil untuk diambil keterangan terhadap gambar dan ulasan yang dikesan menimbulkan kegusaran kepada orang ramai.
"Ada pihak mengatakan pihak polis gagal bertindak awal dalam kejadian itu sedangkan kita telah bertindak cepat dan hasilnya berjaya menahan tiga suspek di tempat kejadian.
"Orang ramai diminta berhati-hati dalam membuat ulasan. Mereka tengok gambar tetapi buat ulasan sendiri dengan mengatakan pihak polis gagal.
"Siasatan telah dijalankan terhadap hantaran yang dimuat naik. Apabila orang baca itu akan menimbulkan kegusaran orang ramai," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Ops Cegah Jenayah Khas Kontinjen Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada awal pagi Ahad.
Dalam kejadian sekitar jam 9.30 pagi pada Khamis, Muhammad Noor Faqih Mohamed Ariffin, 29, maut dalam pergaduhan dengan tiga suspek termasuk dua beranak yang dikatakan berpunca daripada isu kecurian pembesar suara.
Media pada Jumaat melaporkan polis sedang mengesan individu yang bertanggungjawab merakam dan menyebar gambar kejadian itu.
Penyebaran gambar berkenaan memperlihatkan polis seolah-olah tidak membantu meleraikan pergaduhan itu hingga mendapat pelbagai respons negatif warga maya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!