Anggota PGA jatuh bot ditemui lemas

Mangsa yang ditemui lemas pada pagi Ahad diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. FOTO JBPM PERAK
Mangsa yang ditemui lemas pada pagi Ahad diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. FOTO JBPM PERAK
A
A
A

SITIAWAN - Seorang lelaki ditemui lemas selepas terjatuh di laut ketika menangkap ikan di perairan Lekir berhampiran Pelantar Nelayan Batu 8 Lekir, di sini pada Ahad.

Ketika kejadian, mangsa, Nurman Hafiz Nordin, 35, difahamkan seorang anggota Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih menangkap ikan bersama abang dan anak saudara dalam perjalanan pulang ke pelantar di Batu 8, Lekir, di sini pada malam Sabtu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 8.09 malam pada Sabtu sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan dengan dibantu BBP Seri Manjung bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, mangsa yang lemas merupakan seorang lelaki berusia 35 tahun terjatuh dari bot yang dinaiki bersama dua lagi nelayan.

"Maklumat daripada nelayan, salah seorang daripada mereka terjatuh dari bot yang berpusing ketika menangkap ikan. Dua daripada mereka selamat manakala seorang lagi hilang.

"Mangsa yang hilang itu dijumpai pada jam 8 pagi tadi (Ahad) pada jarak kira-kira 500 meter dari lokasi mangsa disyaki terjatuh," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, operasi yang bermula sejak malam Sabtu itu dihentikan jam 9.30 pagi Ahad selepas mangsa ditemui.

Katanya, mangsa yang ditemui itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!