Sokong calon pilihan pimpinan sebab sayangkan parti
SEREMBAN - "Kami lebih sayangkan parti daripada agenda peribadi," demikian kata Pengerusi Badan Jentera Pilihan Raya Dun Rantau, Zuljimmykifli Sahari.
Katanya, keputusan yang dibuat pucuk pimpinan terhadap pemilihan calon PRK Dun Rantau itu sangat dihormati, malah akur dengan apa yang diputuskan oleh parti.
"Walaupun sehingga hari ini akar umbi menolak Dr Streram sebagai calon 100 peratus, tetapi demi parti saya sendiri akur dengan keputusan pucuk pimpinan.
"Kami semua lebih sayangkan parti dari agenda peribadi, lebih 20 tahun kami berjuang, tak kan hanya disebabkan Streram perjuangan yang kami lalui sejak 1998 ini terhenti.
"Oleh demikian, saya sendiri pada malam ini akan berjumpa dengan semua ahli dan akar umbi untuk meminta supaya bersatu kembali dengan satu harapan menjatuhkan Umno dan memenangkan PH," katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, beliau sendiri akan memastikan semua penyokong PKR memberi sokongan padu atas nama perjuangan parti, bukan sebab suka dengan calon itu, tetapi atas dasar semangat reformasi dan perjuangan dalam parti.
Terdahulu, Badan Bertindak ini bersama 369 ahli, menolak Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau, Dr S Streram sebagai calon PRK Rantau.
Katanya, pucuk pimpinan harus memilih calon tempatan dan anak jati kelahiran Dun Rantau, yang lebih dikenali berbanding calon asal.
ARTIKEL BERKAITAN: PRK DUN Rantau: Dr S Streram wakil calon PH
Streram merupakan anak kelahiran Johor Bahru, dan kini menetap di Nilai.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Penyelaras Dun Rantau, Dr S Streram sebagai calon PH bagi PRK Dun Rantau, tadi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!