Medvedev lega bantu kemenangan RTF
BINTANG tenis Russia, Daniil Medvedev lega apabila berjaya membantu kemenangan sulung negaranya yang dikenali sebagai Kesatuan Tenis Russia (RTF) dalam saingan Kumpulan A Piala Davis 2021 apabila menewaskan Ecuador, 3-0 di Madrid, pada Ahad.
Menurut Medvedev yang juga pemain ranking kedua dunia itu, kemenangan berkenaan nyata melegakan kerana selepas ini RTF bakal berdepan tuan rumah, Sepanyol bagi mengesahkan slot ke suku akhir.
“Saya benar-benar gembira kerana dapat menyumbang mata buat pasukan negara saya pada kejohanan Piala Davis kali ini.
“Sebenarnya, tidak mudah untuk beraksi di sini (Madrid), dengan altitude yang tinggi, tetapi saya gembira kerana berjaya menanganinya dan seterusnya beraksi dengan baik untuk mencatatkan kemenangan.
“Kini fokus kami adalah untuk berdepan Sepanyol dan sudah semestinya kami mahu menang untuk layak ke suku akhir,” katanya.
Pada aksi berdepan Ecuador, Medvedev menumpaskan Emilio Gomez 6-0, 6-2 dalam masa 58 minit sebelum gandingan Aslan Karatsev dan Andrey Rublev menewaskan Gonzalo Escobar-Diego Hidalgo 6-4, 4-6, 6-4 bagi mengesahkan kemenangan.
Terdahulu, Andry Rublev memberikan mata pertama buat RTF menerusi kemenangan 6-3, 4-6, 6-1 ke atas Roberto Quiroz pada aksi yang berlarutan selama satu jam 32 minit.
Sementara itu Medvedev meramalkan skuad negaranya bakal menerima tentangan sengit daripada Sepanyol dan berharap rakan-rakan sepasukannya dapat menyerap tekanan dan seterusnya mengejutkan pasukan tuan rumah itu di depan penyokong sendiri.
“Biarpun tanpa kelibat Rafael Nadal, kita tahu, Sepanyol pasti akan turun dengan misi untuk menang.
“Tetapi, kita akan cuba sedaya upaya untuk menghalang misi itu dan dan sebaliknya kita pula yang akan menewaskan mereka untuk ke suku akhir,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!