81 PATI baru tiba di Tanjung Karang ditahan
SHAH ALAM - Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih berjaya menahan 81 pendatang tanpa izin dan seorang lelaki tempatan dipercayai tekong di kawasan Batu 8 dan Kampung Sungai Terap, Tanjong Karang, dekat sini awal pagi Sabtu.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih, Superintendan Rizal Mohamed berkata, kejayaan bermula apabila pihaknya yang sedang membuat rondaan mengesan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di sebuah stesen minyak di kawasan Batu 8 pada jam 4 pagi.
Beliau berkata, susulan pemeriksaan, polis menahan lima lelaki warga asing berumur 34 hingga 37 tahun dengan dua daripadanya merupakan tekong darat manakala selebihnya adalah pendatang tanpa izin.
“Hasil siasatan lanjut telah membawa pasukan polis ke sebuah premis kediaman di Kampung Sungai Terap, dan kami menahan seorang lelaki dewasa tempatan berumur 37 tahun dipercayai sebagai tekong bersama 76 warga asing berusia 16 hingga 47 tahun termasuk tujuh orang wanita sekitar pukul 5 pagi.
“Hasil siasatan mendapati semua pendatang tanpa izin itu tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah dan baru masuk ke negara ini melalui jalan laut dengan menggunakan bot,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Katanya, turut dirampas dua buah kenderaan, telefon bimbit pelbagai jenama dan sejumlah wang tunai RM3,439 yang mana nilai anggaran rampasan berjumlah RM52,274.
Rizal berkata, kesemua tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Balai Polis Tanjung Karang untuk tindakan lanjut di bawah Akta Antipemerdagangan orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1963. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!