Johor rekod lebih setengah juta hektar tanah rizab Melayu

 Hasni Mohammad
Hasni Mohammad
A
A
A

ISKANDAR PUTERI- Johor merekodkan keluasan tanah rizab Melayu seluas 557,633 hektar setakat Oktober lalu.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, keluasan tersebut membabitkan 30 peratus daripada keluasan tanah negeri ini.

Jelasnya, penyusutan atau pengurangan tanah rizab Melayu tidak pernah berlaku sebelum ini kerana penyeliaan dan dasar yang dilakukan oleh kerajaan negeri.

"Jika terdapat permohonan bagi pembatalan sesuatu tanah rizab Melayu, ia perlu ada tanah ganti yang mematuhi tiga syarat iaitu keluasan dan

nilaian tanah gantian itu hendaklah sama atau lebih daripada tanah yang hendak dibatalkan.

"Tanah gantian itu juga hendaklah sesuai dan memenuhi material dan praktikal sebelum sesuatu permohonan untuk membatalkan status rizab Melayu ini boleh dipertimbangkan.

"Kerajaan Johor juga mengenakan syarat iaitu mana-mana tanah yang dikurniakan kepada orang Melayu hendaklah dijadikan sebagai tanah Rizab Melayu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, di Kota Iskandar pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, bagi memastikan tanah yang dimohon untuk dijadikan sebagai Rizab Melayu dan tanah kurniaan yang disyaratkan dijadikan tanah Rizab Melayu, proses pewartaan akan dijalankan sebanyak tiga kali.

"Bagi memastikan tidak berlaku urus niaga terhadap tanah kepada orang bukan Melayu, semasa proses pewartaan belum disempurnakan, satu kaveat pendaftar akan dimasukkan sebagai kawalan dan hanya akan dibatalkan selepas pewartaan disempurnakan sepenuhnya," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!