Gajah liar ceroboh perumahan nelayan dipindahkan
ROMPIN- Dua ekor gajah denak digunakan bagi membantu proses pemindahan gajah jantan liar dari kawasan perumahan nelayan Sungai Puteri, di sini pada Ahad.
Operasi pemindahan yang mengambil masa kira-kira tiga jam itu berjalan lancar apabila gajah denak berkenaan, Kasturi dan Cheri berjaya mengawal gajah liar berusia antara 15 hingga 20 tahun itu.
Ketua Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman berkata, gajah liar yang ditangkap pada Jumaat itu akan dipindahkan ke hutan Taman Negara Terengganu.
Menurutnya, operasi pemindahan bermula jam 9 pagi disertai 24 anggota Unit Tangkapan Gajah (UTG) PKGK Kuala Gandah dan UTG Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang dengan dibantu kakitangan Perhilitan Rompin.
"Operasi pemindahan berjalan lancar memandangkan kedudukan gajah liar itu berada dalam hutan kecil berhampiran jalan utama.
"Dua gajah denak yang dibawa untuk membantu operasi ini hanya menarik gajah liar berkenaan kira-kira 100 meter untuk dinaikkan ke atas lori," katanya kepada pemberita pada Ahad.
Che Ku Mohd Zamzuri berkata, gajah liar yang ditangkap selepas masuk ke kawasan perumahan itu dipercayai dari Hutan Simpan Lesong.
"Kita percaya haiwan ini kemudiannya keluar masuk Hutan Simpan Menchali sebelum tersesat ke kawasan perumahan itu," katanya.
Sementara itu katanya, dalam tempoh 11 bulan tahun ini, PKGK Kuala Gandah telah menangkap dan memindahkan 72 gajah di Semenanjung Malaysia termasuk 14 ekor di Pahang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!