AFC optimis Asia tarik perhatian global tahun depan
KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) yakin benua Asia yang bakal menganjurkan beberapa kejohanan besar akan mencuri tumpuan seluruh dunia pada tahun depan.
Justeru, Ahli Jawatankuasa Eksekutif AFC, Datuk Hamidin Mohd Amin menggesa semangat kekitaan dalam kalangan negara anggota badan induk itu adalah penting menjelang tersingkapnya tabir 2022 yang bakal menyaksikan Asia menganjurkan Piala Asia Wanita AFC dan Piala Dunia Wanita Bawah 17 (B-17) FIFA yang kedua-duanya diadakan di India serta Piala Dunia di Qatar.
“Benua Asia menjadi tumpuan dunia sepanjang 2022. Semangat kekeluargaan yang menjadi kunci kebangkitan sepanjang tempoh dua tahun yang sukar wajar dipupuk bagi memastikan 2022 sebagai tahun cemerlang buat Asia.
“Apa yang penting sekarang ialah untuk kita membina momentum pemulihan yang meningkat pada 2022 dan menggunakan peluang yang ada agar benua Asia terus menjadi tumpuan bola sepak dunia,” katanya dalam satu hantaran dimuat naik menerusi laman Facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Ahad.
Beliau yang juga Presiden FAM berkata demikian ketika menghadiri Kongres AFC ke-31 yang diadakan secara maya pada Sabtu.
Gesaan disuarakan Hamidin adalah selari dengan amanat Presiden FIFA, Gianni Infantino yang turut memuji perpaduan negara ahli gabungan AFC yang disifatkannya berjaya membawa bola sepak Asia bangkit semula kesan daripada pandemik Covid-19.
“Semangat perpaduan yang Infantino sebut dalam amanatnya itu memudahkan keluarga bola sepak Asia bangkit semula daripada kesukaran ini.
"Apa yang beliau tekankan itu tepat kerana berkat kerjasama semua pihak, Asia sudah bangkit semula. Kita akan bangkit lebih kuat jika terus bermuafakat,” tambahnya.
Mesyuarat secara maya yang dipengerusikan oleh Presiden AFC, Shaikh Salman bin Ibrahim Al Khalifa itu turut meluluskan mana-mana ahli gabungan yang gagal menyertai sekurang-kurangnya dua pertandingan AFC dalam tempoh dua tahun berturut-turut sebelum Kongres AFC ke-31 2021 tidak akan digantung daripada mengundi pada kongres kali ini selepas mengambil kira impak cabaran Covid-19.
AFC juga bakal memperkenalkan Inisiatif Kakitangan Teknikal yang lebih tersusun, direka khusus untuk ahli gabungan dengan Strategi Tanggungjawab Sosial yang komprehensif serta Polisi Perlindungan Kanak-Kanak.
Kongres juga meluluskan laporan kewangan yang diaudit untuk 2020, dan belanjawan AFC untuk 2021 dan 2022 serta pelantikan juru audit luar AFC untuk tempoh bermula Disember 2021 hingga Disember 2024. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!