Pas hipokrit: Besarkan spekulasi tukar kerajaan Perak

Sivakumar (kiri) dan Salman.
Sivakumar (kiri) dan Salman.
A
A
A

IPOH - Tindakan Pas menggembar-gemburkan spekulasi peralihan kerajaan Perak berlaku menerusi kerajaan campuran parti itu dan Umno dalam masa terdekat menunjukkan sikap sebenar Pas yang hipokrit dan gopoh mahukan kuasa politik.

Setiausaha Amanah Perak, Salman Saleh berkata, selaku sebuah parti bersama kerajaan PR pada tahun 2009 sebelum diambil alih BN setelah tiga wakil rakyat PR keluar parti dan menyokong BN, Pas sepatutnya sedar tindakan pengambilalihan kerajaan bukan melalui PRU adalah tidak bermoral dan mengkhianati pilihan rakyat.

Menurutnya, Pas yang sebelum ini paling lantang mengecam tindakan UMNO dan BN yang sudah menjadi rakan politiknya, kini dilihat seolah-olah 'meludah ke muka sendiri' kerana sanggup memainkan isu peralihan kerajaan untuk meraih sokongan rakyat.

"Sebagai parti paling kuat menentang tindakan peralihan kerajaan PR tahun 2009 kepada kerajaan BN, jika hari ini mereka menyokong perbuatan itu, pastinya mereka terlupa dengan cemuhan mereka lemparkan kepada rakan politik mereka itu suatu ketika dahulu.

"Bagi PH, kita sangat tenang dengan kerajaan bergerak seperti biasa kerana sekiranya spekulasi digembar-gemburkan Pas adalah benar, sepatutnya mereka menunjukkan bukti angka sokongan ADUN Perak yang sepatutnya memihak mereka," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Salman berkata, Amanah Perak turut melihat Pas bersendirian memainkan spekulasi peralihan kerajaan Perak daripada tangan PH ketika ini berbanding rakan politiknya, UMNO.

"Senario itu membuktikan Pas dan UMNO masih gagal membentuk perancangan bersama dalam memainkan isu-isu kritikal untuk menggugat kerajaan PH Perak yang terbukti semakin diterima ramai ketika ini.

"Tindakan itu sebenarnya menampakkan Pas gopoh dan sekiranya gabungan ini mempunyai angka sokongan wakil rakyat DUN Perak mencukupi, mereka sepatutnya terus memohon mengadap Sultan Perak untuk mendapatkan perkenan menukar pentadbiran kerajaan Perak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, berdasarkan senario itu, dilihat Pas dan UMNO belum benar-benar sepakat dan sukar membentuk gabungan kerjasama politik ampuh kerana hubungan mereka masih belum memasuki fasa kedua pakatan politik paling kritikal seperti dasar kerjasama, strategi politik dan paling penting, muafakat pembahagian kerusi PRU kelak.

Sementara itu, Setiausaha PH Perak, V Sivakumar berkata, beberapa kenyataan pemimpin Pas dan UMNO berkenaan spekulasi pembentukan kerajaan campuran dua parti itu di Perak dalam masa terdekat hanya sekadar propaganda mengelirukan rakyat.

"Tindakan itu dipercayai taktik perang saraf Pas dan UMNO bagi menampakkan keadaan pentadbiran kerajaan PH Perak kini bergolak dan tidak tenteram di mata rakyat.

"Saya yakin tidak akan berlaku apa-apa perubahan tampuk pentadbiran kerajaan PH Perak kerana perkara paling pasti, tiada wakil rakyat DUN dari PH atau menyokong kerajaan PH bertindak beralih sokongan kepada gabungan Pas dan UMNO," ujarnya.

Katanya, pertukaran kerajaan itu tidak mungkin terjadi kerana PH sudah memegang tampuk pentadbiran kerajaan pusat di Putrajaya berbanding peristiwa pengambilalihan kerajaan Pakatan Rakyat Perak pada tahun 2009 di mana BN menjadi kerajaan pusat pada ketika itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!