Kenderaan berat ancam nyawa penduduk

Lori treler bermuatan air minuman terbalik di persimpangan Taman Alam Budiman, Shah Alam pada Ahad. (Gambar kecil: Botol berisi air minuman yang bertaburan.)
Lori treler bermuatan air minuman terbalik di persimpangan Taman Alam Budiman, Shah Alam pada Ahad. (Gambar kecil: Botol berisi air minuman yang bertaburan.)
A
A
A

SHAH ALAM - Pemantauan berterusan pihak berkuasa berkaitan diperlukan terhadap tindakan pemandu kenderaan berat yang memandu laju di kawasan Taman Alam Budiman, di sini.

Penduduk mendakwa, amaran had laju dan bonggol telah disediakan namun masih terdapat pemandu kenderaan berat yang tidak mematuhi amaran tersebut.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Alam Budiman, Badrulhisham Shahbudin berkata, penduduk bimbang kerana kenderaan berat terus bermaharajalela di kawasan itu.

"Sudah banyak kemalangan berlaku di persimpangan lampu isyarat dan keadaan ini berlaku sejak Jalan Setia Alam dibuka lebih sebulan lalu walaupun saya difahamkan laluan itu masih belum diluluskan.

"Mengambil contoh kejadian kemalangan yang berlaku hari ini, penduduk kesal dan bimbang kerana kejadian lebih buruk boleh berlaku di masa akan datang," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Alam Budiman, Suzool Hilmi Suradi berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah lori trailer berlaku sekitar jam 12 tengahari.

"Lori trailer bermuatan air minuman itu dari arah Shah Alam (Persiaran Mokhtar Dahari) terbalik ketika memasuki Persiaran Pulau Lumut di persimpangan Taman Alam Budiman.

"Pemandu lori trailer mungkin hilang kawalan ketika menuruni bukit untuk memasuki simpang dan ini bukan kejadian pertama berlaku di lokasi kejadian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pernah membuat operasi bagi mengatasi perkara itu namun pemandu kenderaan berat masih tetap menggunakan laluan berkenaan.

“Mungkin dengan tindakan mengenakan kompaun atau saman dapat memberi pengajaran kepada pemandu kenderaan berat ini agar mematuhi tanda amaran disediakan," katanya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!